SUNGAI BULOH - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor menyita 16 buah kenderaan menerusi Op Pewa (pemandu warga asing) di Paya Jaras, di sini pada Selasa.
Pengarah JPJ Negeri Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, operasi bermula jam 10 pagi dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) itu memeriksa sebanyak 119 buah kenderaan pelbagai jenis.
Menurutnya, hasil pemeriksaan, 16 kenderaan telah disita selain turut mengeluarkan 98 notis kompaun, 60 notis larangan penggunaan kenderaan dan 60 notis arah periksa.
"Kenderaan yang disita melibatkan lapan motosikal roda tiga, empat motosikal, lori (tiga) dan kereta persendirian (satu).
"Enam pemandu warga asing terdiri daripada Kemboja (tiga) dan selebihnya warga India, Pakistan serta Bangladesh juga telah ditahan sebelum diserahkan kepada pihak imigresen untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, Op Pewa ini telah mengesan pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, kenderaan tiada cukai jalan, tiada perlindungan insurans selain kesalahan teknikal.
Katanya, penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil terhadap pemandu warga asing dan pemilik kenderaan yang tidak mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.
"Untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan@JPJ berserta butiran pengadu dan butiran aduan," katanya.