Pembangunan Seberang Perai mangkin masa depan Pulau Pinang

Iklan
Chow Kon Yeow

GEORGETOWN - Kerajaan negeri sentiasa berusaha keras untuk memastikan Seberang Perai menjadi pemangkin pertumbuhan masa depan Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, bagaimanapun ia memerlukan peruntukan banyak untuk menambahbaik kemudahan dan fasiliti di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut Kon Yeow, sejak 2018, kerajaan negeri memfokuskan pembangunan seimbang antara kawasan pulau dan Seberang Perai melalui Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSNPP 2030) yang diwartakan pada 24 Oktober 2019.

"RSNPP 2030 adalah bagi memastikan pembangunan lestari seimbang di kedua-dua kawasan yang diterjemahkan oleh Rancangan Tempatan (RT) serta Rancangan Kawasan Khas (RKK) di bawah peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dalam bentuk peta cadangan guna tanah dan pelan-pelan tindakan terperinci.

Iklan

"Tata cara proses penyediaan RT dan RKK mengambil kira semua input yang melibatkan data penduduk terkini, keadaan fizikal dan aktiviti semasa guna tanah dan diunjurkan mengikut trend pembangunan semasa sehingga tahun 2030," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-14, pada Jumaat.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata, salah satu agensi utama yang melaksanakan pembangunan di Pulau Pinang, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menggunakan beberapa kaedah dalam pelaksanaan pembangunan antaranya Pelan Strategik PDC.

Iklan

"Pelan itu fokus kepada pertumbuhan kawasan pembangunan baharu berorientasikan ‘Bandar Hijau dan Pintar’ dan peningkatan nilai aset serta penggerak bagi inisiatif kerajaan negeri yang seimbang. Selain itu, PDC melaksanakan Pelan Induk Pembangunan Bandar Cassia melibatkan kombinasi pembangunan bercampur dan bersepadu iaitu perumahan, komersial, pendidikan, perubatan dan perindustrian.

"Selain itu, kita membuat perancangan pembangunan di Bandar Cassia Technology Park (BCTP) dan Batu Kawan Industrial Park 3 (BKIP 3) bagi memastikan penawaran tanah perindustrian kepada pelabur mencukupi untuk 'promoted industries' yang terdiri daripada Electrical & Electronics (E&E), Electronics Manufacturing Services (EMS), Light Emitting Diodes (LED), Medical Devices, Aerospace, Semiconductor, Automotive dan aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan," katanya.

Beliau menambah, kerajaan negeri juga membuat kajian berhubung pembangunan Penang Science Park South (PSPS) sebagai kawasan untuk industri am dan makanan (hab halal).

"Pembangunan hab logistik melibatkan sebahagian tanah BKIP 3 dan PSPS. Kerajaan negeri juga memberi penekanan kepada konsep Environmental Social Governance (ESG) dan Sustanainable Development Goals (SDG) dalam peringkat perancangan guna tanah di kawasan pembangunan kerajaan negeri melalui PDC.

"Elemen 'work, live, learn, and play' serta 'green, safe, and smart' di kawasan pembangunan baru bagi memastikan ekosistem, sosial, fasiliti dan peluang pekerjaan mengikut reformasi pasaran dan revolusi pembangunan hartanah seiring dengan konsep tersebut," katanya.

Tambah Kon Yeow, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM316.13 juta bagi pelaksanaan projek pembangunan pada tahun ini yang akan mengambil kira keperluan projek-projek kritikal dan berimpak tinggi.

"Bagaimanapun, peruntukan ini sahaja tidak mencukupi untuk menambahbaik jaringan fasiliti dan keperluan di Seberang Perai. Pulau Pinang memerlukan peruntukan banyak untuk menambahbaik kemudahan dan fasiliti,” katanya.

Menurut Kon Yeow, walaupun Seberang Perai pesat membangun, kerajaan negeri tidak menafikan masih terdapat beberapa masalah seperti kesesakan lalu lintas, pengurusan sisa, pencemaran sungai, masalah bekalan air yang menjadi masalah berterusan (growing pains).