BANTING - Kegiatan perjudian serta persundalan jika tidak dibanteras habis-habisan mampu menggugat masalah sosial dan keharmonian kekeluargaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, pihaknya menerusi Ops Dadu dan Ops Noda terus menjalankan operasi secara berterusan menggempur premis yang berselindung di sebalik kegiatan tidak bermoral.
Menurutnya, sepanjang tahun ini sahaja dalam tempoh tiga bulan, seramai 37 tangkapan berjaya dibuat.
"Ini termasuklah tangkapan wanita warga asing yang disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial dan terlibat dalam aktiviti pelacuran serta individu yang terbabit dalam perjudian online.
"Berdasarkan siasatan polis, kebanyakan mereka ini dipercayai datang dari luar daerah untuk beroperasi di sini (Kuala Langat)," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, hari ini.
Tambahnya, ini terbukti dengan pembongkaran pengoperasi kegiatan judi online di sebuah kondominium di Sungai Mas, di sini, Jumaat lalu, di mana dua daripada penganjur (suspek) berasal dari Johor dan Kuala Lumpur.
Katanya, lebih membimbangkan, nilai pertaruhan yang ditawarkan adalah serendah 20 sen dan pihaknya tidak menolak kemungkinan golongan pemain ini terdiri daripada kalangan pelajar dan remaja.
"Ini membimbangkan, impak sosial sangat besar dan menimbulkan ketagihan untuk berjudi tinggi. Untuk bertaruh, mereka akan sanggup melakukan jenayah seperti ragut dan pecah rumah, itu tidak mustahil," katanya.
Dalam perkembangan lain, indeks jenayah di daerah Kuala Langat telah mencatatkan penurunan kepada 112 kes dalam tempoh tiga bulan ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu sebanyak 127 kes.
Sementara itu, untuk kes narkotik pula, seramai 708 tangkapan berjaya dilaksanakan tahun ini terhadap individu yang terlibat sama ada sebagai pembekal, pengedar, memiliki serta penagih.
Mengulas lanjut, Azizan turut memaklumkan kebimbangannya berhubung peningkatan kes kemalangan jalan raya."Tahun ini sahaja, sebanyak 977 kemalangan dicatatkan yang mana 17 adalah melibatkan kemalangan maut berbanding tahun lalu yang mencatat 924 kes kemalangan.
"Polis telah melaksanakan 157 operasi dan telah mengesan pelabagai kesalahan utama antaranya memandu melebihi had laju, tidak memakai tali pinggang keledar dan tidak mematuhi lampu isyarat," katanya.
Katanya lagi, pihaknya akan berbincang bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bagi mengatasi kadar kemalangan yang meningkat khususnya di Lebuhraya Elite dan Lebuhraya SKVE.