Nampak anak kaku, ibu sempat ajar kalimah syahadah

Iklan
Rubiah (kanan) dan Haniah (kiri) menunjukkan gambar Allahyarham Zunairi yang maut sejurus dirempuh sebuah lori di bahu jalan di KM11.5 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, berhampiran Bukit Rotan, Kuala Selangor pada Khamis.

KUALA SELANGOR - Luluh hati seorang ibu apabila hanya mampu melihat jasad anaknya kaku di depan mata sejurus dirempuh sebuah lori di bahu jalan di Kilometer 11.5 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, berhampiran Bukit Rotan di sini pada Khamis.

Rubiah Basok, 71, berkata, kejadian kira-kira jam 4 petang yang meragut nyawa anaknya, Zunairi Ahmad, 40, disedari sebaik terdengar bunyi dentuman kuat semasa berada di dalam kereta yang diparkir di bahu jalan.

Iklan
Iklan

"Saya terus keluar dari kereta dan terkejut apabila melihat anak (Zunairi) sudah tertiarap di tepi jalan.

"Pada masa itu, saya memanggilnya berulang kali dan sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah," katanya kepada Sinar Harian semasa ditemui di rumahnya di Taman Kasawari Bukit Rotan di sini pada Jumaat.

Iklan

Rubiah berkata, pada masa itu dia hanya mampu mentitiskan air mata dan tidak putus berdoa agar Zunairi dipanjangkan usia.

"Namun, sayu hati saya apabila pasukan perubatan yang datang ke tempat kejadian memaklumkan arwah Zunairi sudah meninggal dunia," ujarnya.

Iklan

Mengulas lanjut, Rubiah berkata, semasa kejadian itu, dia bersama Allahyarham Zunairi dan seorang jirannya dalam perjalanan menuju ke rumah adiknya, Haniah Basok,61, di Parit Mahang di sini.

Katanya, mereka keluar dari rumah kira-kira jam 3.50 petang dan semasa dalam perjalanan anaknya ditahan individu yang menaiki sebuah kereta Proton Preve yang diletakkan di bahu jalan.

"Arwah anak memarkir di hadapan kereta Preve dan Zunairi kemudian turun membantu, namun dalam beberapa minit saya dengar bunyi dentuman kuat dan sebaik keluar dari kenderaan terkejut melihat anak saya sudah rebah akibat tercampak di belakang kereta dinaiki kami akibat dirempuh lori," ujarnya.

Menurut Rubiah, Allahyarham Zunairi pernah terbabit dalam dua kemalangan sebelum ini dan kejadian itu amat memilukan kerana kehilangan anak ketiga daripada empat beradik itu buat selamanya.

"Arwah pergi dengan husnul khotimah dan sudah selamat di alam sana, malah sebelum kejadian dia sempat membantu jiran mengecat rumah di Ijok tanpa mahu mengambil upah.

"Saya dimaklumkan, arwah biasanya membantu orang dengan seikhlas hati tanpa memikirkan soal wang ringgit," ujarnya.

Jelas Rubiah, lebih memilukan apabila Allahyarham Zunairi yang menghidap masalah jantung akan membuat janji temu pertama di Institut Jantung Negara (IJN) pada 26 Jun ini.

"Arwah sebenarnya kerja di sebuah stesen minyak di Ijok, namun selepas disahkan mengalami masalah jantung, arwah mengambil keputusan berhenti kerja.

"Selepas itu, arwah hanya bergantung punca rezeki dengan melakukan kerja-kerja kampung," katanya.

Ujar Rubiah, anaknya itu disifatkan seorang yang ringan tulang, bertanggungjawab dan sentiasa mengambil berat terhadapnya terutama selepas kematian arwah suaminya kira-kira 17 tahun lalu.

"Arwah seorang yang pendiam dan tidak banyak bercakap, dia rapat dengan saya kerana hanya menetap berdua di rumah ini.

"Saya reda dengan ketentuan Ilahi dan berdoa agar kebaikan arwah di dunia ini mendapat ganjaran dan keampunan-Nya," katanya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, dua lelaki maut selepas dirempuh sebuah lori semasa menukar tayar kereta pancit di bahu jalan di Kilometer 11.5 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, berhampiran Bukit Rotan di sini pada Khamis.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, kedua-dua mangsa termasuk penyelia Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Seremban, Negeri Sembilan berusia 55 tahun dan seorang lagi lelaki berumur 40 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.