Operasi Alkohol: 147 individu ditahan sejak Januari hingga Mei lalu

Iklan
BSPT Petaling Jaya giat menjalankan operasi alkohol sepanjang tahun mengikut perancangan yang telah ditetapkan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin. - Foto Bernama, gambar kecil: Mohamad Fakhrudin

PETALING JAYA - Seramai 147 individu memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan dalam Operasi Alkohol yang dijalankan di sekitar Petaling Jaya bermula Januari sehingga Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sebanyak 39 operasi telah dijalankan dengan 7,352 individu telah diperiksa.

Iklan
Iklan

"Operasi siasatan dijalankan di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan pindaan 2020 iaitu memandu atau menjaga kenderaan motor dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan.

"Akta ini, memperuntukkan hukuman denda minimum RM10,000 dan maksimum RM30,000 dengan penjara sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Dalam pada itu, Mohamad Fakhrudin berkata, sebanyak 48 pertuduhan mengikut seksyen berkenaan dijalankan di Mahkamah Petaling Jaya dengan baki pertuduhan di bawah seksyen sama masih dalam tindakan lanjut untuk proses pertuduhan.

"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPT) Petaling Jaya giat menjalankan operasi alkohol sepanjang tahun mengikut perancangan yang telah ditetapkan.

Iklan

"Justeru, kami mengingatkan semua pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan bagi mengelak kejadian tidak diingini sekali gus memastikan keselamatan pengguna jalan raya khususnya di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya terjamin,” ujarnya.