'Bagaimana nak ternak sendiri, harga makanan ternakan pun mahal'

Iklan
Mahfuz (dua dari kiri) dan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (dua dari kanan) bersama pimpinan Amanah Kedah meninjau bekalan dan harga barangan di Pasar Besar Alor Setar di sini pada Jumaat.

ALOR SETAR - Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan bagaimana rakyat mampu menternak haiwan sendiri bagi menangani isu kenaikan harga barangan sekiranya kos makanan ternakan mahal.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, ada saranan supaya rakyat menanam sendiri sayur dan memelihara haiwan di kediaman mereka.

Iklan
Iklan

"Macam mana nak suruh orang tanam atau bela (ternak) lima ekor ayam satu rumah jikalau makanan ayam ataupun dedak ayam mahal, sudah tentu mereka tak mampu nak bela.

"Takkanlah mereka nak bagi nasi basi atau sisa nasi. Bukannya hari-hari kita tidak habis nasi.Jadi, perkara ini perlu dilihat oleh pihak kerajaan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas turun padang meninjau bekalan dan harga makanan bersama pimpinan Amanah Kedah di Pasar Besar Alor Setar di sini pada Jumaat.

Hadir sama, ADUN Pengkalan Kundor, Datuk Dr Ismail Salleh dan ADUN Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris.

Iklan

Katanya, isu harga bekalan makanan dilihat dapat diatasi apabila kerajaan memberi subsidi terus bagi pengeluaran makanan ayam seperti jagung dan soya.

Jelasnya, langkah tersebut akan menyelesaikan masalah apabila bantuan diterima terus penternak kecil seperti yang disarankan oleh kerajaan.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu mengumumkan kerajaan tidak lagi memberikan bantuan subsidi kepada penternak-penternak ayam mulai 1 Julai ini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan memberi subsidi pengeluaran makanan ternakan bagi menggantikan subsidi ayam yang ditarik tersebut.

Katanya, kerajaan turut mengumumkan akan menyalurkan bantuan tunai secara terus kepada golongan B40 susulan tindakan menghentikan bayaran subsidi kepada penternak itu.

"Kita tidak tahu bagaimana mekanisme subsidi ayam itu akan diberikan kepada rakyat sedangkan harga kawalan diumumkan oleh kerajaan pun sehingga kini tak dapat dipraktikkan oleh mana-mana pihak,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mahfuz berkata, beliau mendapati masalah bekalan dan kenaikan harga barang berterusan di seluruh negara termasuklah di Kedah.

Menurutnya, jika dulu penjual ayam menerima bekalan 800 ekor ayam sehari daripada pembekal, namun kini ia dihadkan kepada 400 ekor sahaja dan ia menunjukkan masalah bekalan masih berlaku.

Jelasnya, walaupun kerajaan masih mengekalkan harga kawalan ayam RM8.90 sekilogram namun tidak ada mana-mana peniaga ayam yang mampu jual pada harga tersebut.

"Tiada makna kita kekalkan harga kawalan tetapi pengguna ataupun rakyat tidak dapat menikmati harga tersebut, apabila ke pasar ayam dijual sehingga mencecah lebih RM10 sekilogram. Ini akan beri kesan kepada rakyat,” katanya.

Beliau dalam pada itu meminta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan masalah orang tengah yang mengawal harga sayur, manakala kerajaan digesa mencari jalan menstabilkan harga ikan serta memastikan bekalan mencukupi.

Pengerusi Amanah Kedah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, ada pengguna mengadu harga barangan meningkat menyebabkan nilai wang menjadi kecil.

"Mereka dakwa terpaksa berjimat dan mengurangkan kuantiti barangan dibeli untuk memastikan pembelian tidak melebihi pendapatan mereka,” katanya.