SHAH ALAM - Pakar Bedah Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi menolak cadangan peguam bahawa, anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim ditarik keluar daripada van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Ketikal bertugas dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, November lalu.
Menurutnya, berdasarkan durasi rakaman video yang dikemukakan di Mahkamah Koroner, tempoh masa yang memfokuskan ke bawah (jalan raya) itu adalah singkat untuk anggota bomba itu diserang.
"Dari saat ke-28 hingga rakaman tamat, kira-kira 18 saat, iaitu satu masa singkat pelbagai perkara boleh berlaku," katanya dalam pemeriksaan balas oleh peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syazlin Mansor.
Beliau berkata, kebarangkalian yang paling hampir diputuskan berdasarkan corak kecederaan mangsa yang diperolehi sewaktu pemeriksaan bedah siasat dan klinikal.
"Teori tersebut berdasarkan corak kecederaan pada tubuh si mati, bukannya ketika mangsa berada dalam EMRS.
"Si mati mendapat kecederaan selepas keluar dari van EMRS itu,” katanya pada hari ke 19 prosiding Inkues Kematian Muhammad Adib hari ini.
Ahmad Hafizam berkata, sekiranya mangsa ditarik, pelaku perlu mencengkam sebarang anggota badan Muhammad Adib yang boleh dipegang.
"Pemeriksaan klinikal dan bedah siasat mendapati tiada tanda cedera lebam yang berpadanan dengan kesan cengkaman.
"Sekiranya kekasaran dilakukan dari arah belakang, dia masih boleh mempertahankan diri dengan mengambil kira badannya yang tegap dan seorang anggota bomba terlatih," katanya.