KIEV - Kempen pencerobohan Moscow ke atas Ukraine masuk hari ke-100 pada Jumaat ketika serangan terus diperhebatkan di bahagian timur negara itu setelah tentera Rusia semakin memperkuatkan cengkaman mereka di wilayah Donbas.
Perkembangan itu dimaklumkan Kiev selepas Moscow kini menguasai satu perlima wilayah di negara tersebut termasuk Crimea dan beberapa bahagian di Donbas yang dirampas pada 2014.
Pertempuran dilaporkan semakin sengit di Severodonetsk selepas 80 peratus daripadanya dikuasai Rusia walaupun tentera Ukraine memberikan tentangan hebat.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy pada lewat Khamis memaklumkan tentera mereka meraih beberapa kemenangan di hab perindustrian di wilayah Lugansk tersebut.
"Masih terlalu awal untuk umumkan kejayaan itu. Ia adalah pertempuran paling sukar, Tetapi, kemenangan pasti berpihak kepada kita,” ujarnya.
Sementara itu, Gabenor Wilayah Lugansk, Sergiy Gaiday menerusi Telegram menyatakan segala infrastruktrur termasuk sekolah dan hospital musnah dibedil dalam tempoh 100 hari tersebut.
"Tetapi, kami sebenarnya menjadi lebih kuat dan percaya boleh mencapai kemenangan,” tegasnya.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula berpendapat tidak akan ada 'pemenang' dalam konflik tersebut.
"Ia tidak membawa keuntungan kepada mana-mana pihak. Kita hanya saksikan ramai mangsa kehilangan nyawa dan tempat tinggal," tegas Pembantu Setiausaha Agung Penyelaras Krisis PBB untuk Ukraine, Amin Awad.
Sejak operasi ketenteraan Rusia dilancarkan pada 24 Februari lalu, ribuan dilaporkan terkorban dan jutaan terpaksa melarikan diri daripada konflik tersebut. - AFP