KUALA LUMPUR - Dalam usaha untuk menangani kejutan luaran yang boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat dan perniagaan, kerajaan telah menetapkan keutamaan jangka sederhana untuk melaksanakan pembaharuan struktur yang akan mengukuhkan daya tahan ekonomi negara.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan pra-Bajet yang dikeluarkan hari ini berkata, pembaharuan itu akan dilakukan, antara lainnya, dengan meningkatkan produktiviti dan mengekalkan inovasi; menggalakkan kerjasama serantau bagi memastikan pembangunan infrastruktur yang berdaya tahan serta peruntukan tenaga; mengukuhkan sistem perlindungan sosial; memantapkan pembangunan modal insan; serta meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti institusi awam.
"Langkah-langkah ini akan meningkatkan lagi kepastian dasar dan keyakinan pelabur yang seterusnya mengukuhkan daya tahan ekonomi negara agar Malaysia dapat terus menjadi destinasi pelaburan menarik,” katanya.
Memandangkan sumbangan besar perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terhadap ekonomi, Kementerian Kewangan juga berkata, kerajaan akan memberikan lebih penekanan kepada pembangunan PKS untuk menjadi lebih kompetitif dan berdaya tahan.
Mengenai prestasi ekonomi Malaysia bagi tahun ini, ia berkata, negara bermula dengan baik pada 2022 apabila mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) lima peratus pada suku pertama.
"Prestasi memberangsangkan itu disokong oleh permintaan domestik dan luaran serta kadar pengangguran yang terus menurun,” katanya.
Kementerian itu berkata, kadar pemulihan ekonomi Malaysia dijangka semakin pantas apabila ekonomi dan sempadan antarabangsa dibuka semula; namun, sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka, kadar pemulihan ekonomi Malaysia bergantung kepada perkembangan ekonomi global.
"Sebagai contoh, ketegangan geopolitik, telah mengakibatkan pelbagai tekanan ekonomi, terutamanya peningkatan inflasi global apabila harga komoditi terus meningkat.
"Tambahan pula, risiko keadaan kewangan global yang lebih ketat, kekurangan tenaga kerja dan peningkatan kos sara hidup mungkin merumitkan usaha pemulihan ekonomi negara,” katanya.
Sehubungan itu, Kementerian Kewangan memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memantau pelbagai risiko ekonomi dan menangani secara berkesan sebarang kejutan luaran yang boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat dan perniagaan.
Mengenai tinjauan fiskal, ia berkata, defisit fiskal untuk Bajet 2022 disasarkan pada enam peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sejajar dengan unjuran pemulihan ekonomi dan berikutan prospek ekonomi global yang lebih baik serta pembukaan semula secara berperingkat sektor ekonomi dan sosial domestik.
"Secara keseluruhannya, prestasi hasil yang lebih baik, ditambah pula dengan pengurusan perbelanjaan yang rapi dan trajektori pertumbuhan yang mampan dijangka mengurangkan risiko kegelinciran fiskal dan mengekalkan sasaran defisit pada enam peratus daripada KDNK," kata kementerian itu.
Sehingga akhir April 2022, kedudukan fiskal terus bertambah baik, memandangkan ekonomi domestik kukuh yang menyumbang kepada lonjakan kutipan hasil, ditambah pula dengan harga komoditi yang tinggi.
Bagaimanapun, katanya, perbelanjaan mengurus juga meningkat, terutamanya disebabkan oleh mekanisme subsidi bahan api semasa yang mengurangkan tekanan inflasi yang meningkat di dalam negara.
Melangkah ke hadapan, pelan pengukuhan fiskal akan dipergiatkan lagi ke arah mencapai sasaran defisit fiskal sebanyak 3.5 peratus daripada KDNK pada 2025 seperti yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
Inisiatif reformasi fiskal akan diteruskan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan dengan menambah baik tadbir urus fiskal, meluaskan asas hasil dan mengoptimumkan perbelanjaan.
Menyedari sumbangan besar perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Kementerian Kewangan berkata Bajet 2023 akan memberi tumpuan kepada strategi untuk memulihkan keupayaan perniagaan dan meningkatkan daya saing industri.
Usaha bersepadu akan dilakukan untuk meningkatkan pengetahuan PKS, keupayaan digital dan amalan pengurusan dan kerajaan akan mengutamakan penyelarasan program di seluruh kementerian bagi memastikan pelaksanaan pelbagai inisiatif tepat pada masanya.
Krisis pandemik Covid-19 memberikan kesan secara langsung kepada semua segmen perniagaan dan mendedahkan kelemahan serius dalam kalangan PKS, terutamanya dari segi pergantungan yang tinggi terhadap sumber pembiayaan tidak formal, kekurangan penggunaan teknologi dan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan, serta kekurangan dalam penyepaduan berkesan PKS dengan rantaian bekalan global.
"Langkah-langkah khusus untuk memupuk hubungan antara PKS dan komuniti inovator (MNC dan ahli akademik) juga akan diberi keutamaan untuk menggalakkan dan memberi insentif kepada PKS untuk menerima pakai proses inovasi.
"Inisiatif untuk menggalakkan PKS menerima pakai amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus serta membuat lebih banyak pelaburan hijau juga akan dipromosikan.
"Usaha ini, digabungkan, akan mempercepatkan pembangunan industri pemula niaga tempatan yang berkembang pesat dan firma inovasi yang akan memacu transformasi ekonomi Malaysia," tambahnya.
Bagi Bumiputera, selaras dengan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030, Bajet 2023 akan meningkatkan peranan Bumiputera dalam ekonomi negara untuk meningkatkan pengagihan pendapatan dalam kalangan masyarakat di Malaysia dan menangani jurang perbezaan antara negeri dan wilayah di Malaysia melalui pembangunan yang lebih seimbang, yang boleh dicapai melalui peruntukan sumber pembangunan yang lebih baik serta kesalinghubungan digital yang lebih baik.
"Selain itu, tumpuan akan diberikan kepada kumpulan yang kurang berkemampuan untuk memastikan peluang yang adil dan saksama untuk mereka mengambil bahagian dalam pembangunan negara.
"Bagi tujuan ini, pelancaran teknologi digital akan menggabungkan dasar rangkuman digital dan menjadi lebih berpatutan.
"Inisiatif ini akan menggalakkan masyarakat yang lebih luas, terutamanya di kawasan luar bandar, untuk diberi peluang dengan lebih baik melalui aplikasi digital, produk dan platform," kata Kementerian Kewangan. - Bernama