KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Masyarakat perlu berpandangan jauh ke hadapan berbanding mengecam model kereta terbang yang dipamerkan di Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA'19).
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, pengkritik boleh memilih sama ada untuk terus berada di belakang dengan menafikan kemajuan teknologi kereta terbang yang bakal dibangunkan atau bergerak seiring dengan kemajuan yang akan dibangunkan.
"Kecaman itu biasa, sebab itu kita kena lebih fokus kepada pembangunan modal insan dan lebih memberikan pembelajaran ilmu kepada isu ini, kita tidak mahu masyarakat tertinggal ke belakang. Sebenarnya anak muda sudah jauh ke hadapan dan setara dengan orang yang merekacipta di peringkat antarabangsa."Mereka boleh pilih sama ada nak terus di belakang, menafikan perkara itu. Mereka boleh naik kereta dibuat daripada buluh,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.
Dalam pada itu, Redzuan menjelaskan model kereta terbang yang dipamerkan di LIMA’19 itu bukanlah protaip, sebaliknya itu hanyalah ‘scale down model’.
"Prototaip itu sedang dibina, apa yang kita lihat semalam di LIMA’19 itu cuma ‘scale down model’, prototaip itu sedang dibina di Jepun oleh rakyat Malaysia.
"Bentuknya bukan begitu, kenapa awak ingat guna kipas KDK ke? Tak” jelas Menteri Pembangunan Usahawan itu.
Ahli Parlimen Alor Gajah itu juga memberitahu protaip kereta terbang itu melibatkan inisiatif pelaburan swasta bukannya menggunakan peruntukan kerajaan.
Beliau turut menjelaskan, dalam tempoh jangka pendek kereta terbang bukanlah untuk kegunaan awam.
"Kereta terbang ini Insya-ALLAH akan disiapkan hujung tahun ini, ia bukan itu penggunaan awam, kita guna dari segi penggunaan pengangkutan emergency response, hantar barang keperluan penting, bantuan kecemasan,” jelasnya.
Ditanya, sama ada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpuas hati dengan pameran model kereta terbang tersebut, Redzuan berkata beliau sentiasa terbuka.
"Sebelum ini juga Dr Mahathir yang mencadangkan supaya kita mewujudkan satu undang-undang untuk merangsangkan pembangunan industri mobiliti udara.Kalau hujung tahun ini, Perdana Menteri benarkan saya menaiki kereta terbang ini, saya akan naik."Sebab itu kita membangunkan mesin ini tanpa memerlukan landasan atau lapangan terbang, kita hanya guna infrastruktur sedia ada,” katanya.
Semalam, model skala kecil kereta terbang, Vector yang dibangunkan oleh sebuah syarikat tempatan, Aerodyne Sdn Bhd menjadi tumpuan pengunjung LIMA'19.
Walau bagaimanapun, reka bentuk Vector itu mendapat kecaman pelbagai pihak di laman sosial termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.