KLANG - Bagi memastikan kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) berjalan lancar, sindiket terbabit menggunakan khidmat tonto yang terdiri dari kalangan penduduk tempatan.
Mendedahkan hal itu, Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten V Siva Kumar berkata, terdapat warga tempatan yang menerima wang RM400 untuk menyamar sebagai nelayan atau pemancing.
Menurutnya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor mendapati sindiket penyeludupan ini diuruskan secara berperingkat oleh ejen, pengangkut, tekong yang tidak mengenali antara satu sama lain dan hanya berhubung melalui panggilan telefon.
"Bagi memastikan kegiatan mereka selamat daripada tindakan pihak berkuasa, sindiket menerusi ejen tertentu akan mengupah individu untuk berperanan sebagai tonto laut.
"Tonto laut akan keluar ke laut lebih awal mengikut masa yang telah ditetapkan oleh sindiket dan akan berada berhampiran lokasi pendaratan PATI.
"Mereka ini bertindak sebagai mata-mata kepada sindiket untuk melaporkan kehadiran pihak berkuasa di sekitar lokasi pendaratan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor, baru-baru ini.
Tambah Siva Kumar, selain pembabitan warga tempatan sebagai tonto laut, terdapat juga pemilik bot nelayan tempatan yang dikesan terlibat dengan sindiket.
Jelasnya, penglibatan pemilik bot dengan sindiket PATI ini berikutan modus operandi baharu sindiket PATI yang dikenal pasti sejak pandemik Covid-19.
"Selain menggunakan bot pancung dan bot pom-pom, sindiket turut menggunakan bot perdagangan tukar barang bagi membawa masuk PATI dari negara jiran di mana bot ini hanya dibenarkan untuk membawa barang sahaja. Tetapi pemilik atau tekong telah menyalahgunakan bot ini untuk membawa PATI semata-mata mahu mengaburi pihak berkuasa.
"Bot barter trade ini akan berhenti di tengah laut sebelum PATI yang dibawa itu dipindahkan ke bot-bot nelayan tempatan dan masuk ke dalam negara sebelum diambil oleh pengangkut darat dan dibawa ke lokasi tujuan,” katanya.
Ujar beliau, Maritim percaya pemilik bot warga tempatan menerima bayaran sekitar RM1,200 hingga RM1,700 bergantung ejen-ejen sindiket.
Setelah pembayaran dibuat, bot terbabit akan diuruskan oleh tekong untuk mengambil PATI di tengah laut.
Menurut Siva Kumar, berdasarkan keterangan melalui tekong atau pemilik bot, mereka mengakui akan terus berhubung dengan ejen di Indonesia sebelum bersetuju untuk melakukan penyeludupan PATI.
"Namun terdapat juga segelintir ejen di dalam negara (pemastautin tetap) yang mencari bot nelayan tempatan untuk memindahkan PATI di tengah laut.
"Kita percaya ejen ini akan menyasarkan pemilik bot nelayan bersaiz sederhana atau Kelas B yang tidak beroperasi untuk diupah bagi membantu sindiket penyeludupan,” ujarnya.
Kata beliau, hasil soal siasat yang dijalankan, PATI pula akan membayar RM1,500 hingga RM2,000 seorang kepada ejen sindiket untuk masuk ke Malaysia.
Sehubungan itu, beliau melahirkan kebimbangan, lambakan PATI ke negara ini akan menyebabkan kes jenayah meningkat.
"Apabila tiada peluang pekerjaan, dikhuatiri mereka mula melakukan kegiatan jenayah dan sebab itu Maritim Malaysia memandang serius isu ini. Tanpa dokumen dan pekerjaan tetap, mereka akan cuba mendapatkan wang dengan melakukan kes jenayah,” kata beliau.
Tegasnya, tindakan akan diambil di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala tekong, pemilik bot atau warga tempatan yang bersekongkol boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.
"Saya menyeru agar komuniti maritim serta masyarakat setempat dapat memberikan kerjasama dan sokongan untuk menyalurkan maklumat pencerobohan PATI dan salah laku yang berlaku di perairan negara khususnya di perairan Negeri Selangor dengan menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Selangor di talian 03-31760657,” katanya.