JAGOAN muay Thai dari dalam dan luar negara akan berentap mempamerkan kejaguhan masing-masing pada Kejohanan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP)-RXD BULL Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Kuda Merah Muaythai Challenge 2022 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Perlawanan tumpuan pada Sabtu bakal menyaksikan pertarungan Kategori Superfight 5 Round Belt yang menemukan petinju Kelab Kuda Merah PDRM, Muhammad Salihem Mohamad menentang wakil Kelab Muaythai Selendang Kuning, Issaal Vethar Money.
Atas kertas, Muhammad Salihem dengan rekod 26 kali kemenangan merupakan pilihan untuk mengatasi lawannya itu yang mempunyai rekod kemenangan sebanyak 20 kali sebelum ini.
Sementara itu, Muhammad Rasyidi Mat Rafi dari Ara Muay Thai Club yang memiliki rekod 10 kemenangan akan berentap dengan petinju Kelab Muay Thai Raja Lebah Kedah, Muhammad Azril Haikal Azman yang berstatus sembilan kemenangan.
Petinju Muaythai Kuda Merah PDRM, Muhammad Rais Juanaidi berstatus 15 kali kemenangan pula akan berdepan dengan wakil Persatuan Muaythai Negeri Melaka, Wan Muhammad Sabri yang memiliki rekod 36 kali kemenangan.
Kelab Muaythai Bara Emas Kuala Lumpur pula menampilkan Amirul Shafiq Ubaidullah dengan rekod 15 kemenangan bagi mencabar petinju Kelab Muaythai Red Wolves Selangor, Noel Krishten atau Saga Red Wolves yang berstatus 17 kali kemenangan.
Bagi aksi Superfight 3 Round Piala pula menemukan petinju Kuda Merah Selatan Johor, Hafize Abd Rahman dengan rekod sembilan kemenangan menentang wakil Kelab Muaythai Blueprint Martial Art, Zain Mohd Zain yang berstatus 10 rekod kemenangan.
Pertarungan Kategori Superfight 5 Round Belt pada Ahad turut menggamit tumpuan apabila Kelab Muaythai Kuda Merah PDRM menampilkan Muhammad Rafi Abdul Manaf dengan rekod lebih 200 kemenangan berdepan petinju sensasi Kelab Muaythai Raja Lebah Thailand, Oii Prachit yang berstatus lebih 100 kali kemenangan.
KL Seven PMKL pula mempertaruhkan Khuzairi Azim Mohd Kamal dengan rekod 26 kemenangan berdepan peserta Kemboja dari Red Volves Cambodia Muaythai Club, Ritalporn Norodoon yang memiliki rekod 15 kali kemenangan.
Satu lagi aksi dijangka sengit membabitkan pertembungan petinju Gorilla Muaythai Club Pahang, Muhammad Ikhwan Hakim Mohd Rizal yang memiliki 17 rekod kemenangan menentang petinju yang memiliki 12 rekod kemenangan dari AKLS Muaythai Club KL, Putra Izuzu Akmal Ilham.
Seorang lagi petinju Kelab Muaythai Kuda Merah PDRM yang dipertaruhkan dalam edisi kali ini adalah Fazli Zakaria yang mempunyai rekod enam kali kemenangan berdepan petinju dengan rekod 15 kali kemenangan, Shahril Aiman Abu Hanafiah atau Saga Red Wolves dari Kelab Muaythai Destar.
Bagi aksi Superfight 3 Round Piala pula menemukan Sharul Mohd Zulkafli yang memiliki rekod dua kemenangan dari Kelab Muaythai Kuda Merah berdepan sensasi Kelab Muaythai Tebuan Mas Sungai Besi Kuala Lumpur, Muhammad Sufian Ramli yang memiliki rekod 13 kemenangan.
Untuk rekod, edisi ke-69 kali ini mendapat sokongan Kementerian Wilayah Persekutuan, DBKL, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Sinar Harian dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Antara tetamu kehormat yang dijangka hadir memeriahkan kejohanan pada kali ini adalah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah; Penaung Diraja Kelab Muaythai Kuda Merah, Tengku Sharifuddin Shah Tengku Sulaiman Shah dan Penaung Kelab Muaythai Kuda Merah, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.