REMBAU - Seorang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah, Pahang maut manakala ibunya cedera parah selepas terlibat kemalangan di Kilometer 40 Jalan Seremban-Tampin berdekatan Rumah Rakyat Kendong, Kota pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan, Hazri Mohamad berkata, kejadian pada jam 9.20 malam itu membabitkan dua kenderaan iaitu Perodua Axia dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun dan dinaiki kedua-dua mangsa dengan sebuah kereta Proton Saga dinaiki lima individu.
"Mangsa, Shazman Sabarudin, 16, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala manakala ibunya Husnirazulia Mohd Yudin, 47, yang mengalami kecederaan parah dirawat di zon merah, Hospital Tampin.
"Berdasarkan siasatan awal terdapat kerja-kerja penurapan jalan dari arah Tampin menghala ke Rembau di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Ujarnya, keadaan jalan lurus, tidak rata, tidak berturap, berbatu halus dan mempunyai satu lorong sehala.
"Kereta Perodua Axia yang dipandu dari arah Tampin menghala ke Rembau dipercayai hilang kawalan berkemungkinan disebabkan permukaan jalan tidak berturap dan rata sebelum berpusing dan masuk ke laluan bertentangan.
"Akibat kejadian itu juga, pemandu dan penumpang kereta Proton Saga iaitu seorang lelaki dan empat perempuan dirawat di zon kuning hospital yang sama," katanya.
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.