Warga emas amnesia, anak tiri sindrom Down hilang ditemui selamat

Iklan
Warga emas yang mempunyai masalah ingatan ditemui selamat bersama anak tirinya seorang OKU sindrom Down di Serdang selepas dilaporkan hilang pada Jumaat.

AMPANG - Seorang warga emas yang mempunyai masalah ingatan dan dilaporkan hilang di sini pada Jumaat selepas keluar bersama anak tirinya seorang orang kurang upaya (OKU) ditemui oleh orang awam dalam keadaan selamat di sekitar Serdang pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, lelaki tempatan berusia 74 tahun itu dipercayai keluar menaiki sebuah kereta bersama anak tirinya berusia 20 tahun yang menghidap penyakit sindrom Down.

Iklan
Iklan

Menurutnya, seorang lagi anak tiri mangsa yang menyedari kehilangan mereka cuba mencari bapa tiri dan adik perempuannya itu di kawasan berhampiran sebelum tampil membuat laporan sekitar jam 5.30 petang.

"Pengadu memaklumkan bapa tirinya yang mempunyai penyakit amnesia itu sering keluar dari rumah dan kebiasaannya akan dihantar balik ke rumah oleh orang awam atau kenalan yang mengenali keluarga mereka jika terjumpa merayau di luar.

Iklan

"Pengadu juga dikatakan telah mencari orang hilang di serata tempat yang pernah dilawati tetapi tidak menjumpai sebelum datang ke Balai Polis Ampang untuk membuat laporan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kedua-dua bapa dan anak itu ditemui oleh orang awam di Ladang Tembikai Susu di Serdang sekitar jam 12 tengah hari pada Sabtu dan telah dihantar ke Balai Polis Taman Tun Doktor Ismail untuk tindakan lanjut.

Iklan

"Pengadu juga telah dimaklumkan perkara tersebut dan menghala ke balai polis berhampiran untuk pembatalan laporan polis," ujarnya.