KUALA NERUS - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di negeri itu, berjaya mencapai matlamatnya apabila tiada golongan terpinggir atau tersisih di sepanjang penganjurannya.
Beliau berkata, konsep Keluarga Malaysia yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga berjaya disampaikan dengan baik kepada rakyat melalui Jelajah AKM yang dijayakan secara bersama antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.
"Konsep Keluarga Malaysia yang digagaskan oleh Perdana Menteri adalah tepat pada masanya terutama dalam membawa negara kembali bangkit setelah berhadapan pandemik Covid-19.
"Saya juga melihat pendekatan Jelajah AKM ke negeri-negeri termasuk Terengganu, akan memberi kemudahan serta kefahaman mendalam kepada semua mengenai konsep AKM yang menitikberatkan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Jelajah AKM Terengganu di sini pada Sabtu.
Menurutnya, konsep Keluarga Malaysia yang menekankan penyatuan dan perpaduan juga, mampu mengukuhkan lagi hubungan erat yang terjalin antara kerajaan pusat dan negeri melalui konsep Federalisme.
"Saya percaya tiada yang akan tertinggal dan terpinggir dalam proses pembangunan negara selepas ini.
"Apa juga perbezaan sama ada agama, bangsa dan fahaman politik, janganlah sampai menggadai nikmat penyatuan serta perpaduan yang dikecapi selama ini,” katanya. - Bernama