KOTA BHARU - Sikap warganet yang suka mensensasikan isu rogol dan sumbang mahram setiap kali melibatkan Kelantan menjadi punca nama negeri itu menjadi sohor.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah secara berseloroh berkata, laporan yang dibuat oleh pihak media turut menghangatkan lagi isu berkenaan.
"Kalau media tidak lapor, maka tiadalah isu ini. Kerajaan tidak nafi perkara ini, negeri lain mungkin kurang sebab tiada laporan.
"Saya lihat sikap netizen, bila isu Kelantan sahaja ia menjadi besar. Sedangkan masalah yang sama ada di tempat lain, seolah-olah di Kelantan mesti sempurna tiada salah dan silap. Itulah masalahnya," katanya selepas diminta mengulas isu rogol dan sumbang mahram yang dilihat banyak berlaku di Kelantan ketika ini.
Sebelum itu beliau merasmikan Festival Kelantan Jepun 2022 yang diadakan di Pasar raya Mydin di sini pada Sabtu.
Mohd Amar berkata, kerajaan negeri tidak pernah lari dalam isu tersebut malah sentiasa berusaha untuk mengatasinya.
Katanya, kerajaan negeri menjadikan Membangun Bersama Islam sebagai dasar utama dalam memberikan kefahaman berkait agama kepada masyarakat.
"Disebabkan dunia ketika ini terbuka semua bahan yang boleh mengundang kepada perbuatan tersebut mudah untuk dilayari.
"Bagi saya tidak wajar meletakkan kesalahan ini di bahu kerajaan semata-mata. Masing-masing ada tanggungjawab, sebagai orang Islam kita perlu hidup dengan ajaran agama yang sempurna," katanya.