KPDNHEP Pulau Pinang keluarkan kompaun RM55,300

Iklan
Gambar hiasan

GEORGETOWN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengeluarkan kompaun bernilai RM55,300 kerana pelbagai kesalahan yang dilakukan oleh peniaga sejak awal Januari hingga Jumaat.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, A Mogan berkata, nilai kompaun yang dikeluarkan itu melibatkan sebanyak 187 kes yang dikesan pihaknya dalam pemeriksaan yang dijalankan sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Iklan
Iklan

"Daripada jumlah itu, RM48,100 adalah nilai kompaun untuk kesalahan di bawah perenggan 5, Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga bagi Barangan dan Caj Perkhidmatan) 2020 membabitkan 125 kes.

"Selebihnya nilai kompaun yang dikenakan kepada peniaga adalah untuk kesalahan di bawah Perintah 2(2) Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Barangan Harga Terkawal),” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Katanya, sepanjang tempoh sama, KPDNHEP Pulau Pinang telah menjalankan 29,822 pemeriksaan di pelbagai premis perniagaan di seluruh negeri bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Mogan berkata, KPDNHEP Pulau Pinang juga giat menjalankan pemantauan dan pemeriksaan harga barangan serta tanda harga di sekitar negeri itu memandangkan isu kenaikan harga barangan yang semakin menjadi perhatian sekarang ini.

"Untuk pengetahuan, seramai 82 penguat kuasa KPDNHEP Pulau Pinang dikerahkan untuk menjalankan pemantauan dan pemeriksaan serta penguatkuasaan setiap hari di seluruh negeri ini,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, pihaknya juga memohon kerjasama dari semua peniaga agar mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan sentiasa meletakkan tanda harga pada barangan serta tidak menaikkan harga sesuka hati.

Menurutnya, sekiranya peniaga dikesan atau didapati melakukan kesalahan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan mereka boleh dikenakan tindakan kompaun mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. - Bernama