AUCKLAND - NEW ZEALAND. Polis New Zealand meminta perhimpunan Hari Peringatan Negara bagi mangsa keganasan di Christchurch di kawasan luar bandar dibatalkan kerana kekurangan anggota untuk tujuan keselamatan.
Upacara antara agama itu akan diadakan di Hagley Park pada jam 10 pagi (waktu tempatan) esok, dua minggu selepas pengganas kulit putih Australia menembak mati 50 jemaah dan mencederakan mereka yang tiba untuk menunaikan solat Jumaat di dua masjid di bandar raya itu pada 15 Mac lalu.
Iklan
Iklan
Selain Hagley Park, beberapa kawasan di luar bandar turut merancang upacara itu yang disiarkan secara langsung.
Antaranya Majlis Daerah Gore, namun membatalkannya pada saat akhir atas nasihat polis.
"Kami telah bekerjasama dengan polis untuk menganjurkan upacara ini, namun hari ini (semalam) kami dinasihatkan supaya membatalkan mana-mana acara awam yang ada kaitan dengan Hari Peringatan Negara," kata Datuk Bandar Gore, Tracy Hicks.
Tambahnya, polis memberi alasan kekurangan pegawai bagi memastikan keselamatan orang awam yang hadir pada upacara itu nanti.
Sebelum ini, Perdana Menteri Jacinda Ardern memaklumkan tahap ancaman keselamatan negara itu dinaikkan ke paras tertinggi susulan serangan berdarah di Christchurch. - Agensi