KUALA LUMPUR - Walaupun terpalit dengan kes mahkamah, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab masih mendapat kepercayaan kesemua ahli majlis untuk memimpin badan induk sukan berbasikal negara.
Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, hasil Mesyuarat Majlis PKBM pada Jumaat yang dihadiri 16 ahli meluluskan undi sebulat suara menyokong penuh kepimpinan Abu Samah yang menjadi presiden sejak 26 Februari 1990.
Amarjit menjelaskan beliau mengemukakan usul undi percaya ke atas Abu Samah dan disokong Timbalan Presiden PKBM, Yunus Ibrahim serta ahli majlis dari Kedah, Zaim Ahmad bagi memastikan tampuk kepimpinan persatuan tidak terganggu akibat perbicaraan kes mahkamah.
"Keputusannya berakhir dengan semua ahli majlis sebulat suara menyokong dan mahukan Abu Samah meneruskan tugasnya sebagai presiden sehingga perbicaraan kes SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) selesai.
"Kami menyokong penuh dan menghormati jasa Abu Samah yang terlalu banyak berjasa kepada PKBM sejak 1990. Jadi, biarlah proses mahkamah berjalan dan kita juga hendak lihat saksi-saksi yang akan ditampilkan ketika perbicaraan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan PKBM.
Amarjit juga berkata, hampir kesemua Exco PKBM telah dipanggil oleh SPRM untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan dalam isu berkenaan sejak 2020.
Dalam pada itu, Yunus berkata, PKBM memerlukan kepemimpinan Abu Samah kerana mereka akan menganjurkan beberapa kejohanan besar termasuk Kejohanan Lumba Basikal BMX Asia 2022 (ACC BMX 2022) di Nilai, Negeri Sembilan.
"Kejohanan ini akan diadakan pada Ogos ini dan Abu Samah adalah Naib Presiden Kehormat ACC. Jadi eloklah kalau kita biarkan semua kejohanan ini berjalan lancar tanpa sebarang isu,” katanya.
Abu Samah yang juga Presiden Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA), mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka pada Jumaat atas dua pertuduhan salah guna jawatan.
Abu Samah, 81, didakwa menggunakan jawatannya sebagai Presiden PKBM sebagai dorongan mendapatkan suapan, apabila memilih syarikat miliknya dan anak-anaknya iaitu Syarikat Harapan Baiduri Sdn Bhd untuk menyediakan sewaan kenderaan logistik dengan harga sewaan RM12,750 melalui 13 baucar bayaran mulai 2013 hingga 2018.
Bagi pertuduhan kedua, Abu Samah didakwa atas perbuatan sama melibatkan syarikat miliknya dan adik- beradiknya, iaitu Syarikat Keluarga Haji Wahab Hassan Sdn Bhd untuk membuat sewaan inap desa (homestay) bagi kegunaan atlet berbasikal dengan sewaan RM36,061.85 melalui 32 baucar bayaran dari 2013 hingga 2018.
Dia dituduh melakukan kedua-dua perbuatan itu di pejabat PKBM, Melaka Tengah antara 2013 dan 2019. - Bernama