KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mendapatkan input dari negara luar termasuk Perancis dalam menggubal Rang Undang-undang Pembaziran Makanan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata Perancis merupakan antara negara paling ke depan dalam undang-undang seperti itu yang turut mengawal selia program Food Bank.
Iklan
Iklan
"Rang udang-undang ini akan menggabungkan pengalaman negara lain untuk dibentangkan pada hujung tahun ini,” katanya menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) mengenai usaha kementerian untuk mengatasi masalah pembaziran makanan di setiap peringkat di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Pada 2 Dis lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata kerajaan bercadang menggubal Akta Pembaziran Makanan yang dilihat penting dalam usaha kerajaan mengelakkan tabiat pembaziran makanan dalam kalangan rakyat.
Sementara itu, Saifuddin memaklumkan program Food Bank Malaysia telah memanfaatkan kira-kira 46,000 rakyat di seluruh negara sejak diperkenalkan pada Ogos tahun lalu.
"Sebanyak 1,000 tan metrik lebihan makanan diperolehi dari pasar raya seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan roti untuk diedarkan kepada golongan memerlukan,” katanya. -Bernama
Artikel Berkaitan