KUANTAN - Detik hitam dan kecelaruan jiwa dialami seorang pemuda selama lima tahun akibat ketagihan dadah berakhir selepas dia mengambil keputusan menyerah diri di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tujuan pemulihan.
Bekas pelatih yang dikenali sebagai Naim , 24, itu mula terjebak dengan najis dadah selepas terpengaruh dengan rakannya ketika bekerja sebagai juruteknik penghawa dingin.
Menurutnya, ketika usianya 19 tahun itu dia cuba beberapa kali menolak ajakan rakannya namun akhirnya tewas.
"Pada awalnya kawan ajak saya mencuba dadah jenis syabu dan saya tolak. Namun lama kelamaan saya tergoda. Mula-mula saya sekadar mencuba tapi sejak daripada itu, minggu-minggu berikutnya saya cari lagi dadah. Sedar tak sedar masa tu saya sudah gian
"Sejak serah diri pada tahun 2016 untuk berubah, saya ditempatkan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Sungai Ruan dan banyak perubahan terutama dari segi kerohanian,” katanya.
Katanya ketika ditemui pada Program Rasulullah di Hatiku sempena Sambutan Maulidur Rasul bersama Kes Pengawasan AADK yang turut dihadiri Pengarah AADK Pahang, Rujhan Ramli di Dewan Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini, hari ini.
Naim berkata, dia berasa bertuah kerana terpilih menyertai pusat pemulihan tersebut sebelum dibebaskan selepas 11 bulan dan kini terpilih sebagai Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) yang dijadikannya sebagai usaha memerangi penyalahgunaan dadah dalam kalangan generasi muda di negara ini.
"Saya bersyukur kerana pendekatan modul Islamic Spiritual Rehabilitation Approch (Isra) berasaskan kerohanian keagamaan dalam memulihkan penagih dadah di Puspen Sungai Ruan terbukti mampu menjadikan penagih meninggalkan dadah buat selamanya.
"Di situ kami dididik solat fardu lima waktu, tazkirah dan yang istimewanya di situ kami wajib melakukan Qiamulai setiap hari yang sebenarnya banyak membina jiwa kami mendekati diri dengan Allah,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pelatih Puspen Gambang yang dikenali sebagai Ahmad, 28, berkata dirinya bersyukur kerana Allah memberi peluang dirinya untuk berubah meninggalkan najis dadah.
"Alhamdulillah, Puspen banyak mengajar saya mengenal Islam dengan lebih dekat dan mendekati diri dengan Allah di samping banyak mengajar saya
"Puspen juga beri peluang saya sertai Marhaban yang sememangnya saya minat tapi sebelum ini saya tak berpeluang untuk menyertainya,” katanya yang memenangi Pertandingan Marhaban Peringkat Kebangsaan, baru-baru ini.