SHAH ALAM - Ayam segar tiada sambutan!
Seorang peniaga yang enggan dikenali berkata, sebelum ini dia mampu menjual sehingga lebih 200 kilogram (kg) ayam sehari, namun kini sekitar 100kg sahaja.
"Sekarang ini pula perniagaan susut kerana harga ayam semakin naik. Pelanggan asyik merungut kerana harga sekilogram ayam jadi mahal disebabkan ada caj potong yang dikenakan.
"Memang tak pernah peniaga mengenakan caj potong ayam RM1 bagi setiap sekilogram, saya sendiri sudah berniaga lebih 10 tahun tapi kali ini terpaksa kenakan caj potong ayam,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sabtu.
Rata-rata peniaga dan pengguna melahirkan rasa kecewa berikutan harga ayam belum stabil atau dipulihkan walaupun dikekalkan pada harga rendah.
Tinjauan di pasar sekitar Shah Alam mendapati hampir kesemua peniaga menjual sekilogram ayam pada RM8.90, dan mereka perlu mengenakan ‘caj tambahan’.
Caj potong sebanyak RM1 bagi setiap kilogram terpaksa dikenakan bagi menstabilkan pendapatan peniaga.
Peniaga yang ditemukan Sinar Ahad mendakwa, harga ayam kini bukan sahaja mahal, malah terpaksa tanggung kerugian berikutan jualan merosot.
Perkara itu turut diakui seorang peniaga di Pasar Moden Seksyen 16, Sazali Ramli, 43, bahawa caj potong perlu dikenakan kerana peniaga perlu mendapat sedikit keuntungan.
"Kebanyakan ayam yang sampai sudah RM8.50 sekilogram, kami jual RM8.90. Kalau seekor ayam seberat 2kg, kami hanya dapat sekitar 80 sen.
"Sebab itu, kita terpaksa mengenakan caj potong RM1 bagi setiap kilogram. Situasi ini buat kami semua tersepit,” katanya.
Seorang lagi peniaga ayam di Seksyen 6, Kamaruddin Mohamed, 46, berkata, kerajaan perlu menstabilkan semula harga di pasaran secara lebih adil.
"Perlu kuat kuasa bermula dari ladang, penternak dan pengusaha pusat pemproses wajib memberi kerjasama agar peniaga tidak tersepit,” katanya.
Di TUMPAT, peniaga di sini mengakui pening kepala memikirkan pelbagai isu melibatkan bahan mentah itu seperti kekurangan bekalan, kenaikan harga dan sebagainya yang sedang berlaku ketika ini.
Para peniaga ayam di sini juga berdepan dengan ‘lambakan’ bahan mentah itu yang kurang laris di pasaran.
Peniaga, Ridhuan Abdul Rahman, 26, berkata, jualan ayam segar ketika ini agak perlahan.
"Sebelum ini, kami boleh jual sekitar 300 hingga 400 ekor ayam sehari dan tidak sampai jam 12 tengah hari ia sudah habis.
"Tetapi sekarang bekalan hanya sekitar 150 hingga 200 ekor sehari tetapi tidak laku,” katanya.
Menurutnya, situasi tersebut menyebabkan mereka terpaksa melelong ayam dengan harga paling murah iaitu sekitar RM7.90 sekilogram bagi mengelakkan ia busuk dan rosak.