SHAH ALAM - Pendedahan pakar ekonomi berhubung perbelanjaan penggunaan isi rumah rakyat Malaysia yang mencecah 70 peratus menunjukkan bahawa masalah kos sara hidup semakin kritikal dan meningkat di negara ini.
Ahli Majlis Tindakan Ekonomi (MTE), Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, perbelanjaan tersebut merangkumi tiga komponen iaitu keperluan makanan, perumahan serta pengangkutan.
Ujar beliau, golongan berpendapatan rendah (B40) hingga berpendapatan tinggi (T20) menggunakan purata antara 60 hingga 70 peratus daripada perbelanjaan mereka bagi memenuhi tiga perbelanjaan berkenaan.
Situasi tersebut menimbulkan persoalan bagaimana golongan B40 mahu menyediakan peruntukan untuk komponen lain seperti menyimpan untuk pendidikan, kesihatan, simpanan kecemasan dan lain-lain.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan bakal mewartakan gaji minimum RM1,500 yang berkuat kuasa 1 Mei lalu ke atas majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih serta majikan yang menjalankan aktiviti profesional yang dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (Malaysia Standard Classification of Occupations, MASCO) 2020.
Perkara itu sudah tentu disambut baik oleh rakyat, namun harga barangan keperluan juga mula menunjukkan peningkatan.
Isu kenaikan harga barang terus membelenggu kita semua. Dari soal harga ayam yang tak selesai, kini harga sayur-sayuran dan bahan mentah juga naik.
Ramai yang mendakwa isu kenaikan harga semakin meruncing dan ada laporan mengatakan harga barang keperluan dijangka naik sehingga 60 peratus.
Justeru itu, penyelesaian daripada kerajaan bukan sekadar bantuan semata-mata, malah perlu diteliti dan menyediakan kerangka yang lebih menyeluruh dan berkesan.
Dalam pada itu, Pakar Ekonomi, University College i-CATS, Kuching, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, keadaan tersebut dilihat tidak baik bagi kewangan rakyat Malaysia kerana ia secara tidak langsung menjejaskan perbelanjaan lain seperti pendidikan, riadah dan simpanan.
Menurutnya, perbelanjaan bagi ketiga-tiga perkara itu juga dilihat menyebabkan isi rumah di Malaysia terpaksa mempunyai hutang yang tinggi bagi menampung keperluan lain.
Justeru katanya, bagi menangani keadaan tersebut, kerajaan perlu menilai kembali dasar yang dilaksanakan termasuklah dalam perkara membabitkan pengangkutan.