Agensi awam, swasta perlu aktif runding isu iklim dan biodiversiti

Iklan
Tengku Hassanal

SHAH ALAM - Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menyeru seluruh agensi awam dan swasta di Malaysia menjadi peserta aktif dalam rundingan iklim dan biodiversiti di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Baginda bertitah, mereka haruslah menyokong inisiatif utama seperti cadangan untuk melindungi dan memelihara sekurang-kurangnya 30 peratus daratan dan lautan menjelang 2030.

Iklan
Iklan

"Walaupun kesedaran dan keprihatinan alam sekitar semakin meningkat di seluruh dunia sejak lima dekad lalu, namun pelbagai kegiatan manusia telah memusnahkan jaringan kehidupan yang kita perlukan untuk bekalan makanan, air, udara bersih dan seumpamanya.

"Kita perlu menterjemahkan aspirasi menjadi realiti," titah baginda sempena Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada Ahad.

Iklan

Mengulas lanjut, Tengku Hassanal turut mendedahkan bahawa baginda telah turun padang melawat lokasi dan menyaksikan sendiri keadaan yang berlaku berhubung laporan tentang kemusnahan Tasik Chini yang dibangkitkan pada tahun lalu.

"Lantas saya telah menitahkan agar Hutan Simpan Chini diperluas untuk meningkatkan perlindungan kepada tumbuhan dan haiwan serta memastikan kehidupan Orang Asli di sekitar tasik tidak terus terancam.

Iklan

"Alhamdulillah, kerajaan negeri Pahang Darul Makmur telah pun selesai mewartakan tambahan kawasan Hutan Simpan Chini tersebut pada 5 Ogos 2021, daripada dahulunya 4,600 hektar kepada 6,502.8 hektar," titah baginda.

Dalam pada itu, baginda bertitah bahawa dua acara utama berkaitan dengan alam sekitar akan berlangsung pada tahun ini.

"Pertama, mesyuarat tahunan ke-27 Conference of Parties on Climate Change (COP27) di Mesir dan kedua, mesyuarat dua tahun sekali UN Biodiversity Treaty (COP15) di China.

"Sebagai negara anggota, Malaysia mesti melibatkan diri secara aktif dengan menyertai dialog antarabangsa.

"Dengan bangganya, kita perlu menyokong kebanyakan komitmen yang dipersetujui tetapi perlu juga bersifat realistik. Sebagai contoh, Malaysia perlu mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2050," titah baginda.

Baginda bertitah, aspirasi ini penting dan terpuji, namun pada masa yang sama perlu menyedari bahawa langkah memansuhkan subsidi bahan api fosil akan memberikan impak besar kepada warga Malaysia.

"Pengurangan penggunaan tenaga sedikit sebanyak akan melumpuhkan dan menjejaskan ekonomi negara.

"Maka, kita perlu mendidik masyarakat tentang penjimatan tenaga dengan pelbagai cara seperti mengurangkan penggunaan pendingin hawa atau menggunakan tenaga dengan lebih efisien," titah baginda.

Tengku Hassanal turut bersyukur kerana kebanyakan negara termasuklah Malaysia sedang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk membangunkan pelan bagi mengurangkan kemusnahan biodiversiti.

"Ketika ini, lebih satu juta spesies haiwan dan tumbuhan sedang mengalami ancaman kepupusan. Sehubungan dengan itu, satu pelan yang berwawasan besar iaitu Global Biodiversity Framework Pasca 2020 sedang dirunding dalam Convention on Biological Diversity untuk diluluskan COP15.

"Teras pelan tersebut ialah cadangan berasaskan kajian sains bagi memperuntukkan 30 peratus keluasan tanah dan perairan dunia sebagai kawasan perlindungan dan pemuliharaan," titah baginda.

Baginda bertitah, Malaysia perlu turut serta bagi menjayakan sasaran unggul ini seterusnya menyerlahkan kebersamaan dengan seluruh warga dunia menangani isu ini.

"Apatah lagi negara kita adalah salah sebuah daripada 17 negara megadiversiti di dunia yang diiktiraf kerana kaya dengan kepelbagaian spesies flora dan fauna.

"Kita perlu berusaha untuk memastikan kawasan daratan dan perairan yang boleh diwartakan bagi tujuan perlindungan dan pemuliharaan untuk mencapai sasaran global penting tersebut," titah baginda.