IPOH - Sesiapa sahaja berhak bertanding kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana negara ini mengamalkan demokrasi.
Itu penjelasan Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika ditanya mengenai hasrat Ketua Pembangkang Perak, Dr Abdul Aziz Bari yang mahu bertanding di kerusi Parlimen Tambun atas tiket Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, mana-mana individu yang berminat dialu-alukan bertanding di kawasan Parlimen itu pada PRU akan datang.
"Aziz Bari ini bukan nak lawan saya seorang tapi semua orang sebab dirasakan dia seorang yang hebat. Kita mengamalkan demokrasi, jadi bukan sahaja Aziz Bari, isteri dia pun boleh bertanding.
"Kita galakkan kalau nak bertanding silakan, tak ada masalah. Cuma yang pentingnya kita dalam berpolitik jangan memburuk-burukkan orang, mencari yang tidak baik," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Malaysia Sports League Daerah Kinta di Extreme Park Sunway City, di sini pada Ahad.
Ahmad Faizal dalam pada itu mengingatkan semua pihak agar tidak terlalu taksub berpolitik sehingga boleh menjejaskan perpaduan dalam kalangan rakyat dan sebagainya.
Menurutnya, berpolitik seharusnya bukan untuk diri sendiri tetapi untuk orang ramai dan perlu melebihi daripada diri sendiri.
Pada 22 Mei lalu, Abdul Aziz dalam kenyataan kepada Malaysiakini menyatakan hasrat untuk mencabar Menteri Belia dan Sukan itu pada PRU15.