KUALA LUMPUR - Istiadat mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada Jumaat ini (10 Jun) di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya akan memperagakan semangat dan kesetiaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertahankan kedaulatan negara sehingga titisan darah terakhir.
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, dalam acara berkenaan, kira-kira 900 anggota dan pegawai akan berarak membawa panji-panji daripada gabungan ketiga-tiga cabang ATM, antaranya Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Ranger Diraja, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.
"Perarakan panji-panji Yang di-Pertuan Agong adalah satu adat tradisi, yang diberi kepada Yang di-Pertuan Agong, ia akan dilakukan sebanyak tiga kali dalam tempoh lima tahun, mengikut tradisi, ia akan dilakukan pada tahun pertama, ketiga dan kelima.
"Kali terakhir ia dilakukan adalah pada 2019 dan sepatutnya ia perlu dilaksanakan pada tahun lepas tetapi ditangguhkan kerana pandemik Covid-19,” katanya ketika menjadi tetamu pada rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1, RTM.
Perarakan panji-panji merupakan salah satu daripada enam acara diadakan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, tahun ini.
Affendi berkata, perbarisan yang dijalankan dengan penuh istiadat itu, akan turut melibatkan formasi terbang lintas hormat lima buah helikopter yang membawa Jalur Gemilang, bendera ATM dan bendera ketiga-tiga cabang keselamatan ATM di ruang udara Putrajaya.
"Tembakan meriam sebanyak 21 das turut akan dilakukan oleh Rejimen Artileri Diraja sebagai penghormatan kepada Yang di-Pertuan Agong, iaitu pemerintah tertinggi angkatan tentera,” katanya.
Justeru kata Affendi, penduduk di sekitar Putrajaya tidak perlu cemas, jika terdengar bunyi meriam atau terlihat kelibat helikopter tentera terbang rendah di kawasan berkenaan sepanjang minggu ini sehingga hari perarakan.
Dalam pada itu Affendi turut mengajak orang ramai untuk bersama-sama menonton perarakan berkenaan yang bakal disiarkan secara langsung oleh RTM, agar dapat menghayati kepentingan pasukan berkenaan sebagai satu elemen penting dalam menjaga kesejahteraan dan kedaulatan negara.
"Perarakan berkenaan adalah pertunjukan simbolik ATM yang amat komited dalam menjaga kedaulatan negara dan sanggup berkorban sehinga titisan darah terakhir,” katanya. - Bernama