Budak 2 tahun derita sakit kulit

Iklan
Pelbagai rawatan dilakukan oleh Fatin (kanan) dan Zulnazmi (kiri) bagi memastikan penyakit kulit dialami oleh Muhammad Izzat Rafael pulih sepenuhnya.

POKOK SENA - [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak lelaki hanya mampu menangis pada setiap malam akibat keradangan penyakit kulit dan rasa gatal yang dialami sejak lebih dua tahun lalu.

Muhammad Izzat Rafael Zulnazmi, 2, perlu disapu pelembap dari masa ke masa bagi mengelakkan kulitnya menjadi kering dan mendatangkan rasa tidak selesa kepada anak kedua dari dua beradik itu.

Iklan
Iklan

Ibunya, Fatin Suhana Mohd Zamri, 26 berkata, jika berpeluh, anaknya itu akan merengek kerana rasa gatal dan seluruh badan menjadi kemerah-merahan.

"Biji-biji akan timbul di keseluruhan badan dan paling banyak di bahagian dada serta perut. Doktor cakap anak saya menghidapi penyakit Pesoraisis Pustular, iaitu penyakit kulit disebabkan oleh genetik.

Iklan

"Bagaimanapun seingat saya, sebelah keturunan saya dan suami tiada pula yang menderita penyakit kulit ini. Malah anak sulung kami pun tak alami masalah ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Keda Batu 13, dekat sini baru-baru ini.

Fatin yang merupakan suri rumah memberitahu, pelbagai ikhtiar telah dilakukan seperti rawatan moden, tradisional dan Islam namun masalah kulit dialami anaknya sejak dua tahun lalu masih belum menemui penawarnya.

Iklan

"Di mana sahaja kami dengar ada yang boleh merawat penyakit kulit, kami akan pergi. Bukan sahaja di Kedah tapi di luar Kedah pun kami pergi dan terbaharu di Pahang.

"Saya pernah mendapat rawatan perubatan Islam tahun lepas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor dan memang berkesan tetapi cuma mampu bertahan tiga hari, selepas itu penyakit kulit anak jadi balik," ujarnya.

Sementara itu, suaminya, Zulnazmi Che Ismail, 28, yang bekerja sebagai pesawah dengan pendapatan RM1,200 sebulan berkata, mereka tidak mampu menampung kos perubatan yang tinggi dan mengambil keputusan tidak meneruskan rawatan di Selangor.

"Kos rawatan perubatan Islam itu mencecah RM800 bagi satu sesi dan kami memang tak mampu walaupun kita lihat ada kesan positif," katanya.

Jelasnya, mereka kini perlu memperuntukkan sebanyak RM500 bagi rawatan, ubat dan pelembap dari klinik swasta pada setiap bulan untuk rawatan anaknya itu.

Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara Bahagian Satu, Zamzuri Mansor (tiga kanan) menyampaikan sumbangan Econsave Prihatin kepada keluarga Muhammad Izzat Rafael.

"Sebelum ini kami dah dapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar lebih setahun dan kini kami cuba dapatkan rawatan di swasta pula," ujarnya.

Nasib yang menimpa Muhammad Izzat Rafael mendapat perhatian pasaraya Econsave Cawangan Pokok Sena yang hadir menyampaikan sumbangan Econsave Prihatin bernilai RM1,000 melibatkan keperluan barangan dapur dan rumah.

Bagi mereka yang ingin membantu Muhammad Izzat Rafael boleh menghubungi Fatin Suhana di talian 013706 6858 atau menyalurkan bantuan di 02075025180486 (Bank Islam).