Tukar ganti tanah KBS untuk jayakan Pusat Belia Perak

Iklan
Ahmad Faizal (kiri) ketika hadir ke Program Malaysia Sports League Daerah Kinta di Extreme Park Sunway City pada Ahad.

IPOH - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membuat tukar ganti tanah bagi merealisasikan pembinaan Pusat Belia Perak yang dirancang dibina di daerah Kinta.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip dalam memastikan pembinaan pusat belia itu dapat dilaksanakan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dengan kaedah tukar ganti tanah itu diharap akan mempercepatkan usaha mendapatkan tanah bagi pembinaan tersebut.

"Saya sentiasa berhubung dengan Pengarah PTG Perak. Di Ipoh ini, KBS mempunyai tanah, tanah ini kita cadangkan untuk ditukar ganti dengan kerajaan negeri bagi percepatkan mendapatkan tanah.

Iklan

"Dengan itu, kita hendak tengok satu pusat belia untuk negeri Perak di dalam Bandaraya Ipoh ini akan dibina," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Malaysia Sports League Daerah Kinta di Extreme Park Sunway City di sini pada Ahad.

Sementara itu, mengenai penganjuran Malaysia Sports League, Ahmad Faizal menjelaskan, pelaksanaan program tersebut melibatkan seluruh daerah di negara ini.

Iklan

Menurutnya, tujuan pelaksanaan program berkenaan adalah membudayakan sukan dalam kalangan rakyat dengan penglibatan terhadap beberapa aktiviti sukan yang dicadangkan.

"Program ini telah mendapat sambutan begitu menggalakkan. Ini membuktikan rakyat Malaysia memang mahukan hidup cergas dan aktif. Saya galakkan rakyat meneruskan program Malaysia Sport League untuk satu jangka masa yang panjang tanpa terlalu memikirkan tentang tempat permainan dan sebagainya.

"Saya ingin menggalakkan agar ia dijalankan di peringkat apa juga kawasan sama ada di kampung dan di bandar. Saya amat berharap setiap hujung minggu sekurang-kurangnya untuk sejam atau dua jam, setiap rakyat melibatkan diri dalam sukan ini," katanya.

Tambah beliau, pada peringkat permulaan sebanyak lima jenis sukan dipilih untuk Malaysia Sports League iaitu futsal, sepak takraw, bola jaring, bola keranjang dan badminton.