KUANTAN - Penubuhan Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNG) dan Majlis Biodiversiti Negeri Pahang (MBNP) mengenai dasar umum pemeliharaan, penggunaan, kawalan, pengurusan, pembangunan alam sekitar, sumber dan biodiversiti Taman Negara Pahang antara inisiatif kerajaan negeri dalam memelihara alam sekitar demi kesejahteraan rakyat negeri ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kerajaan negeri terhadap alam sekitar, kempen 100 juta pokok ditanam di kawasan hutan turut dilancarkan.
Menurutnya, melalui kempen itu, sebanyak 3.3 juta pokok telah ditanam melibatkan usaha pelbagai lapisan masyarakat dan agensi kerajaan.
"Ke arah usaha memelihara dan memulihara alam sekitar di negeri ini, kerajaan negeri juga telah melaksanakan projek pemuliharaan Tasik Chini sebagai Hutan Simpan Kekal dengan pembinaan benteng dan penanaman semula hutan.
"Kerajaan negeri juga menggalakkan para penyelidik dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjalankan penyelidikan biodiversiti Taman Negeri Rompin dengan menyediakan geran RM50,000 setahun," katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena Hari Alam Sekitar Sedunia melalui Facebooknya pada Ahad.
Wan Rosdy berkata, inisiatif itu sekadar beberapa contoh keprihatinan dan sokongan kerajaan negeri terhadap alam sekitar khususnya di Pahang.
"Alam sekitar amat penting dalam rantaian kehidupan manusia dan memberi keseimbangan kepada ekosistem alam.
"Seiring dengan tema Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini 'Hanya Satu Bumi', kita dituntut menjaga dan memeliharanya.
"Kemusnahan alam sekitar hanya akan membawa bencana buat semua," katanya.
Beliau berkata, sambutan Hari Alam Sekitar adalah wadah bagi penglibatan semua pihak untuk berganding bahu memelihara alam sekitar kerana ia tanggungjawab bersama.