PEMAIN golf negara yang membantu menyumbangkan emas buat kontinjen Malaysia pada Sukan SEA Hanoi 2021 baru-baru ini, K Rhaasrikanesh menyanggah persepsi bahawa golf hanyalah sukan untuk orang kaya.
Malah, beliau yang lebih dikenali sebagai Rush percaya golf boleh dinikmati oleh semua yang berminat dengan sukan itu tanpa perlu lagi membeli satu set lengkap peralatan untuk mencubanya.
"Terdapat kayu golf yang boleh disewa di kebanyakan lapangan sasar dan kelab golf untuk orang ramai mencubanya dan bermain sukan itu,” katanya ketika dihubungi.
Ditanya tentang penglibatannya dalam sukan tersebut, pemuda berusia 21 tahun itu berkata, dia mula bermain golf seawal usia enam tahun dan menyertai pertandingan sejak berumur sembilan tahun.
Walaupun bapanya selalu bermain golf dan menjadi suri teladannya, minat sebenar terhadap sukan itu mula timbul apabila dia menonton filem 'The Greatest Game Ever Played'.
Melihat minat Rhaasrikanesh terhadap sukan itu, bapa saudaranya, R Mahathevan membelikan set golf pertamanya dan bersama bapa Rush mendaftarkannya dalam satu program junior di Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah (KGSAAS).
Bakatnya dikesan oleh Persatuan Golf Malaysia (MGA) ketika dia bermain di Heron Lake Golf Club di Vinh Phuc, Vietnam pada 2019.
"Saya sangat berterima kasih kepada MGA kerana memberi peluang kepada saya untuk mewakili negara pada Sukan SEA Hanoi 2021 baru-baru ini,” katanya.
Rush berjaya disenaraikan untuk temasya tersebut selepas meraih tempat keempat dalam acara individu pada Kejohanan Golf Berpasukan Amatur Asia Tenggara dan memperoleh gangsa menerusi acara berpasukan pada Kejohanan Berpasukan Asia Tenggara (Piala Putra) 2019.
"Buat masa ini saya masih pemain amatur dan merancang untuk menjadi profesional selepas menamatkan pengajian ijazah dalam bidang perakaunan di University of Texas Rio Grande Valley dalam masa dua tahun. Selain Sukan Asia, saya juga berharap untuk beraksi di pentas Olimpik satu hari nanti,” katanya.
Rush muncul wira skuad negara di Hanoi 2021 apabila menyumbang mata kemenangan untuk mengatasi Thailand 2-1 sekali gus membawa pulang emas berpasukan lelaki selepas penantian 21 tahun. - Bernama.