Susden Malaysia bantu penternak ikan sangkar

Iklan
Kegiatan penternakan ikan sangkar di Sungai Pahang. Gambar kecil: Muhammad Sha'ani

KUANTAN - Pertubuhan Rangkaian Pembangunan Kesinambungan (Susden) Malaysia peka dengan nasib penternak ikan sangkar khususnya di Temerloh yang berdepan pelbagai kekangan termasuk faktor perubahan iklim dalam memastikan ternakan mereka terus mengeluarkan hasil.

Yang Dipertua Susden Malaysia, Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, sejak kegiatan penternakan ikan sangkar dimulakan di Sungai Pahang 20 tahun lalu, penternak hanya mengalami masalah kematian ikan antara 5 hingga 10 peratus manakala tempoh berat tuai dicapai dalam masa lima bulan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, beliau mendakwa penternak kini berdepan masalah kematian ikan yang tinggi sehingga mencecah 80 peratus manakala tempoh berat tuai pula hanya dicapai antara enam hingga tujuh bulan.

"Kemerosotan hasil ini disebabkan oleh kesan pencemaran air sungai dialami dari kegiatan pembukaan tanah serta aktiviti perbandaran di huluan sungai.

Iklan

"Kejadian banjir yang kerap turut menghadkan tempoh operasi pengeluaran ikan sangkar kepada sekitar sembilan bulan sahaja dalam setahun," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Muhammad Sha'ani berkata, pihaknya dengan sokongan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia - Matlamat Pembangunan Lestari (APPGM-SDG) melaksanakan program Penternakan Lestari Untuk Kesejahteraan Negara dalam usaha memperkasakan penternak ikan sangkar di kawasan Parlimen Temerloh yang semakin berdepan pelbagai cabaran dalam operasi mereka.

Iklan

"Cabaran-cabaran ini memerlukan penggunaan teknologi dan amalan berinovasi untuk memaksimumkan operasi pengeluaran ikan sangkar yang terus mendapat sambutan tinggi dengan harga runcit ikan patin sangkar menjangkau RM20 sekilogram sejak akhir-akhir ini.

"Jadi untuk membantu penternak ikan sangkar pihak Susden Malaysia bekerjasama dengan Jabatan Akuakultur, Universiti Putra Malaysia (UPM), Genetic Improvement & Farm Technologies Sdn Bhd telah mengadakan kursus-kursus asas penternakan ikan dan bebiri kepada penternak baharu," katanya.

Tambahnya, perbincangan juga diadakan dengan penternak ikan sangkar untuk merangka program yang dapat mengupayakan penternak bagi mengatasi cabaran-cabaran di lapangan serta kemahiran dalam keusahawanan dan pemasaran.