JOHOR BAHRU - Polis menyiasat dakwaan beberapa pekerja syarikat bas ekspres bertindak kasar dan tidak sopan terhadap seorang penumpang di Terminal Bas Larkin di sini, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan itu dilakukan susulan video tular di media sosial berdurasi 45 saat yang memaparkan kejadian itu dan laporan polis seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang merupakan penumpang terbabit.
Beliau berkata, kejadian berlaku akibat perselisihan faham antara penumpang dan empat pekerja syarikat bas ekspres itu.
"Hasil siasatan awal kita mendapati punca kejadian berlaku disebabkan pengadu tidak berpuas hati dengan tindakan pekerja bas itu menukar bas ekspres VVIP kepada bas ekspres biasa.
"Harga tiket bas ekspres yang dibeli adalah pada harga RM95 dan tidak setanding dengan keadaan bas yang hendak ditukar dan menyebabkan perselisihan faham berlaku,” katanya menerusi kenyataan, di sini pada Ahad.
Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan dan mengenal pasti empat individu itu dan akan memanggil pihak syarikat bas terbabit untuk membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi terus Ibu Pejabat Polis Daerah JBS di talian 07-2182323 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, tiga video berdurasi antara 31 dan 45 saat tular di media sosial menunjukkan rakaman pertelingkahan antara empat individu dengan seorang penumpang bas VVIP yang dipercayai membeli tiket dari Terminal Bas Larkin ke Butterworth, Pulau Pinang dengan harga RM95, namun setelah bas tersebut keluar daripada terminal itu, pekerja syarikat bas telah mengarahkannya menukar kepada bas persiaran. - Bernama