Harimau Malaya tak gentar fizikal pemain Turkmenistan

Iklan
Pemain pertahanan negara, Dominic Tan percaya dengan perencanaan strategi Kim Pan Gon untuk mengekang kemaraan pasukan Turkmenistan dalam aksi kelayakan Piala Asia 2023, Rabu ini. - Foto Facebook FAM

FAKTOR fizikal pasukan Turkmenistan yang jauh lebih besar berbanding skuad bola sepak kebangsaan diakui tidak mendatangkan kegentaran kepada skuad negara menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi kelayakan Piala Asia 2023, Rabu ini.

Pemain pertahanan negara, Dominic Tan berkata, faktor itu mungkin dianggap kekuatan bagi pihak lawan namun beliau kekal percaya dengan perencanaan strategi pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan Gon untuk mengekang kemaraan pasukan itu.

Iklan
Iklan

"Ya mungkin fizikal mereka yang lebih besar merupakan kekuatan mereka tapi fizikal bukanlah segalanya.

"Kita pun ada kita punya kekuatan pemain yang mempunyai fizikal jadi ia tidak penting bagi saya jika anda sebut Akhyar dan Faizal mereka pun ada kelebihan.

Iklan

"Kami mempunyai strategi sendiri dan kami mengkaji video taktik mereka dan akan menontonnya sebelum perlawanan dengan mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi latihan di sini, pada Ahad.

Mengulas mengenai peluangnya untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama pada aksi Rabu ini, pemain pertahanan Sabah FC itu beranggapan Pan Gon jelas lebih mengetahui apa yang terbaik dalam membuat pilihan.

Iklan

"Sudah tentu jurulatih mempunyai pelan taktikalnya dan sesiapapun yang diturunkan saya pasti pemain lain yang tidak bermain akan memberi sokongan... kami bekerja sebagai satu pasukan untuk mendapat keputusan yang diidamkan,” katanya.

Sementara itu, Dominic beranggapan keserasian dibentuk skuad Harimau Malaya bersama-sama Pan Gon semakin bertambah kukuh sejak pengendali itu mula mengambil alih pasukan itu Februari lepas.

"Bagi saya kita boleh tengok yang kita ada skuad lebih padu dan mendalam tetapi kita pun masih kena tunjukkan dalam tiga perlawanan ini kita kena dapatkan keputusan yang diinginkan," katanya.

Dalam saingan Kumpulan E pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023, Malaysia akan menentang Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh pada 14 Jun ini. - Bernama