'Saya tak suruh orang tinggal di kondo bela kerbau' - Saarani

Iklan
Saarani (kiri) ketika melawat Pasar Awam Tapah selepas program Moh Mengopi Bersama DSSM di sini pada Isnin.

TAPAH - Semua pihak perlu mengambil positif cadangan menggalakkan rakyat menanam sayur-sayuran dan menternak haiwan sendiri bagi mengurangkan kos sara hidup.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, saranan tersebut dibuat khusus untuk rakyat negeri ini yang mempunyai kawasan atau tanah di kediaman masing-masing.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkara itu juga tidak harus dipolitikkan oleh pembangkang kerana sebahagian rakyat termasuk di kampung-kampung telah mempraktikkannya sejak dahulu lagi.

"Saya tak sebut pun orang yang tinggal di kondominium kena bela kerbau atau kena tanam sawi.

"Saya cuma sebut tak apalah kalau ada barangan yang kita tak boleh tanam macam gandum, tak apalah kita import, tapi barang-barang makan lain macam cili, sawi, bayam, kucai, petola, kacang panjang sayur-sayuran yang boleh ditanam sendiri oleh orang Perak tanamlah. Itu saja yang saya kempen," katanya kepada pemberita selepas program Moh Mengopi Bersama DSSM di Pasar Awam Tapah, di sini pada Isnin.

Beliau berkata, inisiatif menanam sayur-sayuran dan menternak haiwan itu juga tidak asing bagi penduduk di Kampung Baru Cina.

"Bukanlah perkara pelik sebab ke mana-mana saya pergi Kampung Baru Cina, itulah budaya mereka.

"Tak tahulah kalau Nga Kor Ming (Ahli Parlimen Teluk Intan) tak pernah masuk atau YB tak rajin masuk Kampung Baru Cina? Budaya untuk bercucuk tanam di halaman rumah budaya orang Cina, dia tanam apa yang dia nak makan dan makan apa yang ditanam lebihnya dia jual," katanya.

Iklan

Saarani berkata, isu tersebut tidak sepatutnya menjadi bahan sindiran oleh pemimpin politik kerana cadangan tersebut bukan sesuatu yang tidak boleh dilaksanakan.

"Saranan itu juga untuk kebaikan rakyat Perak memandangkan ia melibatkan jaminan bekalan makanan," katanya.

Iklan

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan meneruskan program Kebun Kita iaitu pemberian kit tanaman kepada rakyat untuk mereka bercucuk tanam.

Menurutnya, pada tahun lalu Jabatan Pertanian Perak membelanjakan lebih RM3 juta bagi tujuan tersebut.

Pada 31 Mei lalu, Saarani dalam satu kenyataan menyarankan supaya rakyat di negeri ini menanam sendiri sayur-sayuran dan memelihara haiwan ternakan untuk kegunaan sendiri susulan kekurangan bekalan makanan yang dihadapi ketika ini.

Cadangan tersebut mencetus polemik dalam kalangan pemimpin politik pembangkang yang mempersoalkan saranan tersebut.