Ramai keluar kenyataan bertentangan prinsip Rukun Negara

Iklan
Dr Ismail Sualman - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Ramai rakyat di negara ini menggunakan media sosial sebagai medium melontarkan kenyataan bertentangan dengan prinsip Rukun Negara tanpa menyedari ia suatu kesalahan.

Profesor Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman berkata, sebagai contoh penghinaan terhadap agama Islam, Nabi Muhammad dan Yang di-Pertuan Agong banyak dilakukan di media sosial sedangkan ia sesuatu yang salah.

Iklan
Iklan

"Sekarang, dengan media sosial orang guna pelbagai bentuk dan cara penyampaian sama ada penulisan, lukisan dan video.

"Saya kira jika perkara ini berterusan ia bakal menimbulkan masalah perkauman di negara ini. Dalam situasi semasa, tindakan telah diambil dan ia berkurangan," katanya dalam Wacana Sinar Harian ke-98: Adakah Rukun Negara Sudah Mati? hari ini.

Iklan

Beliau mempersoalkan mengapakah tidak ada poster Rukun Negara di papan iklan di tepi jalan raya dan lebuh raya di negara ini.

"Negara kita ini berbeza dengan negara-negara jiran terdekat. Jika di Brunei pembukaan dan penutup kepada rancangan televisyen akan tampilkan gambar pemimpin serta lagu negara mereka," katanya.

Iklan

Beliau berkata, ada dalam kalangan pemimpin parti politik tidak bertanggungjawab keluarkan kenyataan bertentangan dengan prinsip rukun negara.

"Kita tak tahu apa niat mereka tetapi ini banyak berlaku sama ada di media sosial dan pentas-pentas ceramah dalam pilihan raya," katanya.