China berjaya lancar kapal angkasa Shenzhou-14

Iklan
Kapal angkasa Shenzhou-14 yang dibawa roket Long March-2F berjaya dilancarkan dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China, tepat jam 10.44 pagi Ahad. - Foto Twitter

BEIJING - Kapal angkasa Shenzhou-14 yang dibawa roket Long March-2F berjaya dilancarkan dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China, tepat jam 10.44 pagi Ahad.

Menurut Agensi Angkasa Bermanusia China (CMSA), kapal angkasa itu dihantar ke orbit mengikut jadual dan kesemua tiga anak kapal berada dalam keadaan baik.

Iklan
Iklan

Ia merupakan misi penerbangan kali ketiga membabitkan kehadiran angkasawan pada fasa pembinaan stesen angkasa China.

Difahamkan, tiga angkasawan China, iaitu Chen Dong, Liu Yang dan Cai Xuzhe berjaya memasuki modul teras Tianhe pada jam 8.50 malam Ahad.

Iklan

Ketiga-tiga angkasawan dijadualkan berada di stesen angkasa itu selama enam bulan untuk menjalankan misi seperti menyelenggara dan membaik pulih kemudahan, mengendalikan tangan robotik, melakukan aktiviti luar kenderaan (EVA) serta eksperimen yang berkaitan.

Menurut penyelidik Pusat Latihan Angkasawan China, Li Yinghui, sebanyak 24 ujian perubatan akan turut dijalankan.

Iklan

"Satu daripadanya adalah untuk mengetahui lebih lanjut tentang kesan persekitaran sifar graviti dan penerbangan angkasa lepas ke atas manusia dari perspektif fizikal.

"Kedua adalah melihat kesan penerbangan angkasa lepas terhadap keupayaan manusia, dan mengkaji ciri-ciri perubahan keupayaan manusia.” katanya.

Pada Jun 2019, CMSA dan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Urusan Angkasa Luar (UNOOSA) bersama mengumumkan kumpulan pertama projek terpilih yang terdiri daripada sembilan projek dari 17 negara serta 23 entiti untuk menjalankan eksperimen sains angkasa di stesen angkasa China.

25 kabinet eksperimen saintifik boleh ditempatkan di dalam kabin stesen angkasa China.

Setiap kabinet eksperimen pula berfungsi sebagai sebuah makmal angkasa yang kecil, yang dapat menyokong pembangunan eksperimen sains angkasa.

Stesen angkasa China akan menjalankan lebih banyak eksperimen sains angkasa antarabangsa pada masa hadapan. - Bernama