MOSCOW - Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) pada Ahad menguji lapan peluru berpandu sebagai tindak balas kepada ujian peluru berpandu terbaru Korea Utara, lapor Sputnik, memetik Agensi Berita Yonhap.
Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS) dalam satu kenyataan pada pagi Isnin memaklumkan bahawa peluru berpandu taktikal tentera darat telah dilancarkan dari kawasan pantai timur di Wilayah Gangwon Korea Selatan yang menyasarkan pelbagai sasaran ke Laut Jepun.
Ujian berlangsung selama kira-kira 10 minit, bermula jam 4.45 pagi waktu tempatan pada Isnin (19:45 GMT pada Ahad), menurut JCS.
Sementara itu menurut kenyataan Komando Indo-Pasifik AS, ujian itu melibatkan satu peluru berpandu AS dan tujuh peluru berpandu Korea Selatan.
Selain itu, AS juga melakukan latihan peluru berpandu balistik bersama dengan Jepun.
Pyongyang dilaporkan telah menguji lapan peluru berpandu balistik jarak dekat, termasuk jenis KN-23, dari empat lokasi berbeza ke arah Laut Jepun pada Ahad.
Ujian peluru berpandu itu adalah yang ke-18 dilakukan Korea Utara sejak awal tahun ini. - Bernama