KOTA BHARU - Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Kelantan menzahirkan rasa dukacita, kesal dan mengutuk sekeras-kerasnya kejadian seorang ibu hamil tujuh bulan yang maut akibat ditembak di Pasir Mas, pada Sabtu.
Ketua Awan Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim berkata, kejadian tersebut mengakibatkan kehilangan bukan sahaja nyawa ibu muda tersebut tetapi bayi dalam kandungan mangsa.
Katanya, tidak tergambar trauma dan kesedihan yang dialami oleh ibu dan keluarga mangsa tersebut akibat kejadian itu.
"Ini adalah keganasan terhadap wanita yang tidak boleh diterima oleh masyarakat bertamadun seperti kita dan mesti dihentikan segera," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Hafidzah berkata, Awan juga menggesa kerajaan negeri dan persekutuan meningkatkan usaha bagi menangani dan menghentikan semua bentuk keganasan terhadap wanita.
"Hal ini termasuk langkah holistik pencegahan dan perawatan.
"Langkah juga termasuk kemahiran dalam menangani konflik dan tekanan perasaan agar perkara kekejaman dan menyayat hati seperti itu dapat dielakkan daripada mengancam kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Pada Sabtu, seorang wanita hamil tujuh bulan maut ditembak di bahagian perut dalam kejadian di Kampung Teresek, Repek, di sini.
Mangsa, Farrah Emirah Mazlan, 26, yang juga seorang peniaga ditemukan dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu dengan kesan tembakan di perut sebelah kiri.