KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memiliki gaya kepimpinan tersendiri dalam membantu negara mendepani pelbagai cabaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kata penganalisis pengurusan krisis, Nordin Abdullah.
"Kita telah menyaksikan perkara itu dari semasa ke semasa. Inilah perkara yang saya rasa, tidak kira sama ada anda ahli politik atau rakyat jelata, adalah faktor yang menenangkan ketika negara boleh diibaratkan sebagai menempuh gelora di tengah lautan.
"Seri Paduka memiliki gaya kepimpinan yang tenang namun tegas. Ini antara perkara yang dapat kita saksikan dari perspektif pengurusan krisis,” katanya ketika ditemu bual secara online dalam The Brief keluaran Bernama TV hari ini.
Beliau berkata, tidak kiralah sama ada ia satu kemalangan kecil di tepi jalan atau bencana yang menjejaskan kehidupan rakyat, Al-Sultan Abdullah telah meletakkan penanda aras baharu dalam usaha menangani krisis dan gaya kepimpinan baginda menjadi sebutan ramai.
Sementara itu, ditanya mengenai pendekatan Malaysia dalam menguruskan isu sekuriti makanan termasuk memansuhkan kelulusan kuota import (AP) sebagai langkah jangka pendek, Nordin berkata kerajaan berusaha sedaya upaya bagi memastikan krisis itu masih terkawal.
Menyentuh visi Malaysia ke arah menjadi negara sifar karbon menjelang 2050, beliau berkata komitmen di peringkat antarabangsa mempunyai impak langsung terhadap kehidupan rakyat.
"Kita perlu mula menganggap penggunaan alam sekitar sebagai sebahagian daripada tempat tinggal kita bagi memastikan bahawa kita memiliki pokok yang secukupnya untuk mengelakkan insiden hakisan,” katanya sambil menambah sektor swasta juga sudah mula memainkan peranan masing-masing. - Bernama