SHAH ALAM - Kira-kira 1,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari seluruh negara berhimpun di Tugu Negara Kuala Lumpur bagi menuntut hak kebajikan mereka kepada kerajaan.
Menurut laporan Astro Awani, Pengerusi bersama perhimpunan dikenali sebagai Reunion Veteran, Mejar (B) Mior Rosli Mior Mohd Jaafar berkata, tujuan perhimpunan tersebut diadakan adalah bagi menyampaikan tiga tuntutan utama kepada kerajaan.
Beliau mendakwa bahawa setelah lapan tahun berjuang untuk menegakkan tuntutan yang disifatkan sebagai 'hak kumpulan pesara', namun tiada tindakan dan perhatian diberikan kerajaan.
Ujar Mior Rosli, tuntutan yang diketengahkan adalah berkaitan isu penyelarasan pencen, pemberian pencen kepada veteran yang tidak menerimanya dan membuka ruang untuk beri pengampunan kepada pesara ATM supaya dapat menerima pencen serta diiktiraf sebagai veteran.
"Saya tidak ada pilihan lain dah kalau nak pergi jumpa lagi menteri, benda yang sama sahaja, benda balik ke situ, pusing-pusing ke situ (tiada penyelesaian).
"Saya buat keputusan untuk mendaftar seberapa ramai orang yang menyokong saya untuk bawa (tuntutan) ke mahkamah sebab kita tidak ada duit.
"Jadi tiga isu besar ini saya nak bawa ke mahkamah untuk bertanya kepada mahkamah, undang-undang ini memihak kepada kita atau undang-undang ini tidak boleh pakai?
"Tetapi bagi saya semua undang-undang ini adalah benar, dan jelas yang kita ada hak. Tetapi hak kita dinafikan," dakwanya kepada pemberita pada Isnin.
Mior Rosli mendakwa, dianggarkan sebanyak 330,000 veteran yang masih dinafikan hak mereka dan daripada jumlah itu, kira-kira 135,000 tidak mempunyai pencen.
Bagaimanapun, tegasnya perhimpunan yang dilakukan tersebut bukan satu bentuk ugutan terhadap Kementerian Pertahanan dan ia tidak mempunyai kaitan dengan politik.
Sebelum ini, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) mengarahkan pihak negeri agar maklumkan kepada 173,868 ahlinya di 246 cawangan seluruh negara mengenai larangan menyertai perhimpunan dianjurkan itu.