Mat Ropi dalam kelas tersendiri

Iklan
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias (empat dari kiri) bersama barisan Ahli Kehormat Kelab Muay Thai Kuda Merah dan barisan penaja kejohanan bersama Muhammad Rafi selepas perlawanan pada Ahad. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

PETINJU Kelab Muaythai Kuda Merah PDRM, Muhammad Rafi Abdul Manaf mengekalkan status juara Tali Pinggang Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) selepas menewaskan petinju Kelab Muaythai Raja Lebah Thailand, Oii Prachit menerusi technical knock-out (TKO) di Kejohanan KWP-RXD BULL Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Kuda Merah Muaythai Challenge 2022 di Stadium Titiwangsa, pada Ahad.

Sayembara dua jagoan muay Thai dari dua negara itu yang turut menjadi perlawanan tumpuan pada hari kedua kejohanan, nyata ditunggu-tunggu para, penonton yang memenuhi stadium bagi merebut Tali Pinggang Kementerian Wilayah Persekutuan.

Iklan
Iklan

Menepati jangkaan, pertarungan Superfight lima pusingan itu berlangsung sengit sejak pusingan pertama dengan kedua-dua petinju saling berbalas serangan dalam usaha menewaskan lawan.

Namun, Muhammad Rafi lebih dikenali Mat Ropi berstatus juara bertahan sejak 2012 dilihat mula menggandakan asakan terhadap Prachit pada pusingan kedua hingga memaksa pengadil menghentikan perlawanan setelah petinju Thailand itu rebah buat kali kedua ketika cuba menangkis asakan-asakan lawan.

Iklan

Kejohanan pada hari kedua kali ini itu turut menyaksikan tiga lagi keputusan TKO bagi tiga pertarungan Superfight lima pusingan manakala keputusan pertarungan Superfight tiga pusingan ditentukan menerusi kiraan mata.

Pertarungan bagi merebut tali pinggang RXD BULL pula dimenangi petinju dari Kelab Muaythai Red Volves Cambodia, Ritalporn Norodoon, dengan keputusan TKO ke atas petinju Kelab KL Seven PMKL, Danial Kadir.

Iklan

Biarpun dilihat menguasai perlawanan pada pusingan pertama, namun Danial Kadir rebah pada pusingan kedua setelah Ritalporn berjaya melepaskan pukulan tepat ke arah badan lawannya.

Pertarungan Superfight lima pusingan bagi merebut Tali Pinggang Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) sebelum itu dimenangi petinju Kelab Muaythai Gorilla Pahang, Muhammad Ikhwan Hakim Mohd Rizal yang menewaskan petinju Kelab Muaythai AKLS Kuala Lumpur, Putra Izuzu Akmal Ilham juga menerusi keputusan TKO.

Keputusan TKO juga dilakar pada pertarungan Superfight lima pusingan bagi merebut Tali Pinggang Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), apabila petinju dari Kelab Muaythai Destar, Sharil Aiman Abu Hanafiah, menumbangkan petinju Kelab Muaythai Kuda Merah PDRM, Fazli Zakaria.

Ternyata, Sharil yang terkenal dengan gelaran SAGA Red Wolves itu memanfaatkan pengalaman 15 rekod perlawanan dimilikinya bagi menumbangkan Fazli pada pusingan ketiga sekali gus mengesahkan kemenangan.

Bagi perlawanan merebut trofi tajaan DBKL dan MSWP, menyaksikan pertarungan sengit antara petinju Kelab Muaythai Kuda Merah, Sharul Mohd Zukafli dengan Muhammad Sufian Ramli dari Kelab Muaythai Tebuan Mas Sungai Besi.

Bagaimanapun, pihak juri akhirnya memutuskan kemenangan berpihak Sharul berdasarkan kepada kiraan mata bagi perlawanan Superfight tiga pusingan itu.

Untuk rekod, semua pemenang kejuaraan kali ini termasuk yang terlibat pada edisi ke-68 sebelum ini bakal berentap di Grand Final yang dijadualkan berlangsung mulai 5 hingga 6 November depan di venue sama.