SHAH ALAM - Majlis Belia Malaysia (MBM) berpandangan bahawa keinginan yang tinggi untuk hidup mewah menyebabkan segelintir anak muda hilang rasa takut terhadap hukuman kesalahan rasuah yang sedia ada di negara ini.
Presiden MBM yang baharu, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, mereka ingin hidup mewah disebabkan tekanan budaya tunjuk-menunjuk di media sosial, selain pengaruh rakan sebaya.
"Ini juga dapat dibuktikan daripada hasil dapatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah.
"Sebahagian daripada mereka ingin dilihat mewah, bergaya walaupun di luar kemampuan. Ini disebabkan tertekan dengan amalan tunjuk-menunjuk di media sosial serta pengaruh yang kuat daripada rakan sebaya,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Pada Sabtu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Norazlan Mohd Razali mendedahkan sejumlah 275 belia berusia antara 18 hingga 30 tahun ditangkap atas kesalahan membabitkan rasuah sejak 2020 sehingga Jun 2022.
Turut senada Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Muhammad Fadzli Hasan yang mana berpendapat golongan belia cenderung terlibat rasuah disebabkan mahu tampil bergaya dan mempunyai kehidupan mewah.
Tambahnya, kegagalan memahami implikasi terhadap jenayah rasuah juga antara punca golongan belia tidak takut dengan pelaksanaan hukuman sedia ada.
"Ini kerana belia pada hari ini lebih gemar memilih jalan pintas dengan mengambil rasuah tanpa memikirkan impak buruk terhadap kehidupannya pada masa akan datang.
"Walaupun sudah sedia ada akta berhubung dengan kesalahan rasuah di negara, namun mereka kurang mengambil peduli akan hukuman tersebut,” katanya.