SEREMBAN- Seorang pegawai penyelidik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban pada Selasa atas pertuduhan memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang basikal 1 Jun lalu.
Tertuduh, Munirah Stapah@Salleh, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Intan Syafinaz Roslin selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian Khalid Mohd Isa, 72, di Jalan Temiang-Pantai pada 1 Jun lalu jam 8.25 pagi.
Berikutan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM50,000 dan penjara antara lima tahun dan 10 tahun jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa, Asisten Superitendan M Shanmugavel meminta mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dan menggantung lesen memandu tertuduh sehingga kes selesai.
Munirah yang bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan merayu dikenakan jaminan lebih rendah atas alasan suaminya bekerja di negeri lain dan dia masih menyusukan seorang anak kecil.
Mahkamah menetapkan jaminan RM3,500 dengan seorang penjamin dan menggantung lesen memandu tertuduh.
Sebutan semula kes 21 Jun ini.