JUARA dunia Perancis meneruskan persembahan hambar dalam Liga Negara-Negara Eropah apabila sekadar melakar keputusan seri 1-1 ketika berdepan Croatia dalam perlawanan peringkat kumpulan di Stadium Poljud, Split pada Selasa.
Skuad Les Bleus kendalian Didier Deschamps yang dijinakkan Denmark 1-2 di Stade de France pada aksi pembukaan tirai kumpulan sebelum ini bermula garang, namun deretan percubaan gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan menyaksikan kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan dengan terikat tanpa jaringan.
Bersambung babak kedua Perancis kembali lebih garang apabila terlebih dulu mendahului menerusi jaringan Adrien Rabiot pada minit ke-52, sebelum sepakan penalti Andrej Kramaric di minit ke-83 memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata.
Sementara itu, Deschamps menegaskan matlamat gergasi dunia di pentas Liga Negara-Negara Eropah adalah untuk persiapan lebih rapi mengharungi Piala Dunia Qatar 2022 yang dijadualkan November depan.
"Kami bermain dengan baik, mengambil kira semua perubahan. Kami juga mendahului dan boleh menjaringkan lebih banyak, namun sayangnya mereka membuat gol penyamaan pada penghujung perlawanan.
"Bagaimanapun, Perancis telah mempamerkan aksi yang konsisten terutamanya pada babak kedua. Croatia pula hampir tidak mengancam sepanjang separuh masa kedua.
"Ya, saya akui keputusan ini tidak memuaskan semua pihak, namun kejuaraan ini merupakan perlawanan kompetitif dan matlamat kami untuk persediaan ke Piala Dunia Qatar 2022 akhir tahun ini,” ujarnya.
Keputusan di bumi Croatia itu menyaksikan Perancis kini berada di kedudukan ketiga dengan satu mata manakala Croatia tercorot satu mata selepas masing-masing mengharungi dua perlawanan.
Perancis bakal bertandang ke Vienna bagi perlawanan seterusnya menentang Austria yang dijadualkan Sabtu sebelum menyambut kehadiran Croatia di Paris selepas itu.