KOTA KINABALU - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka menyempurnakan majlis pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah pada 6 April ini di Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa di Penampang.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Pelancaran Bersatu Sabah Datuk Hajiji Mohd Noor berkata selain beberapa acara seperti penyerahan rasmi borang permohonan keahlian tambahan penyokong dan pendukung Bersatu di Sabah, pengisian utama majlis adalah amanat yang akan disampaikan oleh Dr Mahathir, selaku Pengerusi Bersatu.