KUALA LUMPUR - Empat kadet dari Malaysia telah berjaya diterima meneruskan pengajian di Akademi Tentera Amerika Syarikat (AS) pada tahun ini.
Mereka ialah Edlan Mikyad Ahmad Syamly, 20; Muahamad Danish Imran Zainudin, 18; Qarin Loqman Safriza, 18, dan Zarif Mohd Zamrin, 20.
Kuasa Usaha Kedutaan AS di Malaysia, Michael Newbill berkata, 69 negara telah diundang untuk menamakan calon-calon masing-masing pada tahun ini dengan matlamat untuk mendaftarkan 15 calon dalam setiap akademi perkhidmatan.
"Kurang daripada 20 peratus calon antarabangsa telah dipilih.
"Proses pemilihan adalah sangat ketat dan berdaya saing. Calon akan dinilai dari segi prestasi akademik, kebolehan fizikal, karakter dan potensi kepimpinan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap bagi meraikan pemilihan keempat-empat kadet terbabit di ibu negara pada Selasa.
Hadir sama Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Zaidan Atan.
Dalam pada itu, Michael dalam sidang akhbarnya berkata, lima kadet Malaysia kini berada di Akademi Tentera Amerika Syarikat (AS).
"Ditambah dengan empat kadet ini, akan ada sembilan kadet keseluruhannya. Saya berpendapat secara relatifnya ia satu jumlah yang besar,” ujarnya.
Bagi salah seorang kadet, Zarif yang diterima masuk ke Akademi Tentera Udara AS berkata, perasaannya bercampur baur semasa mendapat tahu diterima masuk ke akademi berprestij itu.
"Untuk bercakap jujur, apabila saya mendapat tahu saya diterima masuk sebelum ini, saya berlari sekeliling koridor,” katanya yang berasal dari Subang Jaya.
Seorang lagi kadet, Edlan Mikyad yang diterima masuk ke Akademi Tentera AS berkata, dia tidak melihat adaptasi akan menjadi masalah baginya di sana nanti.
"Kami telah diajar untuk beradaptasi dengan keadaan persekitaran yang tidak biasa.
"Saya rasa kami akan berada dalam keadaan baik di sana nanti,” katanya yang berasal dari Wangsa Maju.