Penduduk Bagan Sungai Yu bimbang diusir, hilang punca pencarian

Iklan
Penduduk di Bagan Sungai Yu berkumpul di hadapan PDT Kuala Selangor di sini bagi menuntut kerajaan negeri Selangor mewartakan rizab jalan kampung berkenaan.

KUALA SELANGOR - Kira-kira 1,000 penduduk di Kampung Nelayan Bagan Sungai Yu di sini bimbang kehilangan tempat tinggal dan mata pencarian jika kerajaan negeri masih belum mewartakan rizab jalan di kampung berkenaan.

Ramai penduduk resah apabila rizab jalan sepanjang kira-kira tiga kilometer itu diserahkan kepada pemaju sekali gus akan mengundang risiko perobohan kediaman dan jeti nelayan di kawasan terbabit.

Iklan
Iklan
Amran

Seorang penduduk, Amran Omar, 50, berkata, penduduk hidup dalam tekanan dan bimbang jika diusir dari tanah itu pada bila-bila masa.

"Kami juga bimbang tanah diambil alih pemaju dan penduduk terpaksa berpindah dan hilang punca pendapatan.

Iklan

"Saya menetap dan berniaga kedai makan di sini sejak lebih 13 tahun lalu dan buntu ke mana kami hendak menumpang teduh jika kawasan kediaman dirobohkan pemaju," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Kira-kira 200 penduduk di Bagan Sungai Yu berkumpul selama 30 minit di hadapan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor di sini bagi menyerahkan memorandum menuntut kerajaan negeri Selangor mewartakan rizab jalan kampung berkenaan.

Iklan

Seorang lagi penduduk, Muhamad Zulkarnien Suhaimi, 31, berkata, penduduk meminta campur tangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi menyelesaikan kemelut dihadapi mereka sejak tiga tahun lalu.

Muhamad Zulkarnien

Jelas Muhamad Zulkarnien, perkara itu sudah diajukan kepada PDT dan pemimpin setempat namun masih tiada penyelesaian.

"Perkara ini perlu disegerakan apatah lagi kami sudah membina generasi yang menetap di sini sejak puluhan tahun.

"Kami akan tetap pertahankan hak kami. Jika rizab ini diambil maka kami bimbang rumah, premis perniagaan dan sumber ekonomi juga terjejas," ujarnya.

Pengusaha pelancongan, Lai Heng, 58, berkata, sebanyak RM1.5 juta sudah dibelanjakan bagi membangunkan kawasan pelancongan di kawasan itu sejak lebih 20 tahun lalu.

Jelasnya, jika rizab tidak diwartakan kerajaan negeri, dia bimbang semua aset dan rumah penginapan serta jeti pelancongan bakal dirobohkan pihak tidak bertanggungjawab.

"Saya bergantung kepada sumber pendapatan pelancongan sebagai mata pencarian dan jika dirobohkan sudah tentu kami mengalami kerugian," katanya.

Pengerusi Nelayan Kuala Selangor, Omar Abdul Rahman berkata, perkara itu mesti diselesaikan segera kerana jeti kawasan itu antara penyumbang kepada tangkapan dan pendaratan ikan terbesar di kawasan itu.

Menurut Omar, penduduk amat berharap pewartaan rizab itu membolehkan mereka meneruskan kegiatan ekonomi tanpa sebarang masalah.

"Secara puratanya penduduk di sini mencari rezeki dengan menangkap hasil laut dan sebahagian lagi membangunkan industri pelancongan di sini.

"Jika mereka diusir, bagaimana mereka hendak menangkap ikan dan menambat sampan dan bot mereka di muara sungai yang sudah diambil oleh pihak lain," katanya.

Teck Huat (kanan) menunjukkan memorandum yang diserahkan kepada PDT Kuala Selangor pada Selasa.

Jawatankuasa Mempertahankan Kampung Nelayan Bagan Sungai Yu, Tiu Teck Huat berkata, memorandum itu dihantar bertujuan mendesak kerajaan negeri menyelesaikan segera tuntutan penduduk.

Katanya, tuntutan itu rasional kerana rizab jalan hanya terletak kira-kira 50 meter dari rizab sungai.

"Mustahil jalan ini milik individu sedangkan sejak puluhan tahun lamanya dan menjadi nadi perhubungan untuk penduduk berulang-alik menghantar anak ke sekolah dan pelbagai urusan harian lain," katanya.