K-KOMM akan bertemu penggiat industri muzik

Iklan
Zahidi (kanan) bertemu M Daud Kilau ketika Program Ziarah Kasih ke kediaman penyanyi veteran, itu di Kampung Sungai Balai Baroh, di sini pada Selasa.

BAGAN DATUK - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) akan mengadakan pertemuan dengan penggiat industri muzik bagi menyelesaikan isu berkaitan royalti dan kebajikan mereka.

Timbalan Menterinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pertemuan itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklum balas mengenai kehendak dan keperluan penggiat seni kreatif itu.

Iklan
Iklan

Jelas beliau, usaha yang dilakukan melalui Task Force Industri Kreatif K-KOMM bagi membantu kerajaan dalam menubuhkan Perbadanan Industri Muzik Malaysia (PIMM).

"Kita sedang berusaha menubuhkan Perbandanan Industri Muzik Malaysia kerana pelakon mempunyai Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) tetapi untuk pemuzik tiada badan yang jaga mereka.

Iklan

"Walaupun royalti mereka dibayar melalui tiga badan, tapi masih ada yang kita tidak penuhi. Kita akan ada perjumpaan dengan mereka untuk minta pandangan sebelum tubuhkan perbadanan," katanya kepada pemberita ketika Program Ziarah Kasih ke kediaman penyanyi veteran, Datuk M Daud Kilau di Kampung Sungai Balai Baroh, di sini pada Selasa.

Zahidi berkata, pelaksanaan task force yang ditubuhkan itu bagi membantu penggiat seni dari segi kebajikan, kewangan, perumahan dan keperluan lain.

Iklan

Menurutnya, selain itu juga, industri kreatif di negeri-negeri juga akan dihidupkan kembali menerusi penubuhan persatuan-persatuan seni di negeri tersebut.

"Industri kreatif di negeri tersebut kita nak hidupkan balik untuk jadikan pendapatan dan tarikan pelancongan seperti dikir barat di Kelantan, Boria di Pulau Pinang dan sebagainya.

"Kita akan beri bantuan melalui persatuan negeri dan kita sudah bergerak serta melantik urusetia, cuma dalam task force kita akan bincang," katanya.

Pasukan petugas Industri Kreatif sebelum ini ditubuhkan untuk meneliti dan mengambil kira langkah penambahbaikan industri kreatif termasuk isu kebajikan penggiat seni.

Ketika ini, terdapat tiga badan mengutip royalti muzik iaitu Music Authors Copyright Protection Berhad (MACP), Public Performance Malaysia Berhad (PPM) dan Recording Performers Malaysia Berhad (RPM).