Pembenihan awan tingkatkan paras air kolam Bukit Merah

Iklan
Saarani (tengah) ketika ditemui pemberita sempena program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri di Stadium Indera Mulia di Ipoh, pada Selasa.

IPOH - Kerajaan Perak akan meneruskan perancangan melakukan pembenihan awan meskipun paras air kolam Bukit Merah, Bagan Serai menunjukkan peningkatan dalam tempoh beberapa hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kaedah itu akan dilakukan berikutan paras air kolam masih tidak mampu menampung pengairan untuk kegunaan pertanian dan domestik terutama di musim kemarau ini.

Iklan
Iklan

"Walaupun ada peningkatan, pasti ia tidak mencukupi kerana Bukit Merah tidak mempunyai mata air seperti tasik lain. Jika tidak hujan, air Bukit Merah dialirkan keluar untuk pengairan akhirnya kering.

"Oleh itu, kita perlu bersiap sedia menampung air takungan itu. Apabila musim kemarau, pembenihan awam masih diperlukan. Sekarang ini musim kemarau," katanya kepada pemberita sempena program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri di Stadium Indera Mulia di sini, pada Selasa.

Iklan

Portal publicinfobanjir.water.gov.my menunjukkan paras air kolam Bukit Merah berada pada paras 6.8 meter berbanding paras normal ialah 8.68 meter.

Minggu lalu, media melaporkan kerajaan negeri akan menjalankan pembenihan awan untuk mengatasi masalah paras air di kolam berkenaan susulan laporan dibuat oleh Exco Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Razman Zakaria.

Iklan

Jabatan Pengairan dan Saliran Kerian menerusi laman sosial Facebooknya memaklumkan bahawa bekalan air pengairan akan dihentikan secara berperingkat sepenuhnya setelah paras kolam Bukit Merah mencecah paras 6.096 meter.

Keutamaan bekalan air dari kolam Bukit Merah kini adalah untuk rawatan air mentah oleh Loji Rawatan Air (LRA) Gunung Semanggol dan Jalan Baru, Parit Buntar.