SHAH ALAM – Dasar dan sikap pemimpin parti pemerintah India, Parti Bharatiya Janata (BJP) sehingga terbuka menghina Nabi Muhammad SAW seharusnya dikecam seluruh dunia.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, BJP perlu diisytiharkan sebagai organisasi yang mencetuskan keganasan agama.
"ABIM memantau dasar-dasar dan sikap kerajaan BJP India yang anti Islam dan semakin memuncak hari ini.
"ABIM menegaskan, sikap anti Islam ini bukan sesuatu yang baharu tetapi ia adalah lanjutan dari dasar perkauman sempit serta pemikiran ekstremis yang sebati dalam kalangan pemimpin BJP,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau mengulas kenyataan dua jurucakap parti pemerintah India, BJP pimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi, yang mengeluarkan kenyataan Islamofobia dan menghina Nabi Muhammad, ketika ke udara di televisyen baru-baru ini.
Kenyataan itu mengundang kecaman beberapa negara Islam, antaranya Qatar, Kuwait, Oman, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Iran, dengan ada yang menuntut India memohon maaf, selain ada negara yang mula memboikot produk keluaran India.
Mengulas lanjut, Muhammad Faisal turut mengemukakan beberapa dasar iaitu bukti sikap pelampau agama kerajaan BJP India yang sengaja ingin mencetuskan keganasan antara agama.
Antara dasarnya menurut beliau adalah seperti Citizenship Amendment Act (CAA) yang menarik semula kerakyatan umat Islam di wilayah utara India, khususnya wilayah Assam pada tahun 1955.
"Diikuti pembinaan kem tahanan di Assam untuk golongan ‘stateless’ atau tidak mempunyai negara, pengharaman hijab di institut pendidikan di wilayah Karnataka, selain kekejaman berterusan kerajaan India ke atas umat Islam di wilayah Kashmir,” ujarnya.